fbpx
Anggota polis membawa Saifuldin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melarikan dan mengurung pemilik kedai emas di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini.

Pemandu jentolak culik, kurung tauke emas dijel 30 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Seorang pemandu jentolak dihukum penjara 30 bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melarikan dan mengurung pemilik kedai emas di Kampung Palekbang, Tumpat dekat sini pada tahun lalu.

Tertuduh, Saifuldin Mohammad, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjalankan niat umum bersama dua orang yang telah dituduh dan seorang masih bebas melarikan Marzuki Mustapha, 45, secara paksa dengan niat untuk menyebabkan mangsa dikurung secara sulit dan salah.
Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan di Kampung Palekbang, Tumpat dekat sini kira-kira pukul 7.20 pagi pada 20 Mei 2025.

Saifuldin didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah memohon hukuman setimpal dikenakan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

Saifuldin merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman penjara yang akan ditetapkan kepadanya.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara 30 bulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 20 April lalu dan denda RM3,000.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang bekas pemain bola sepak Kelantan dan rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 April lalu atas tuduhan melarikan dan mengurung pemilik kedai emas di Kampung Palekbang, Tumpat dekat sini tahun lalu.

Tertuduh, Cik Hisammudin Hassan, 51, yang juga bekas penyerang pasukan bola sepak Kelantan era 1990-an hingga 2000-an dan Saufi Ariffin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Pada 16 April lalu, seorang penganggur, Mohd. Hairie Ab. Rahman, 42, turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersubahat dengan bekas pemain bola sepak Kelantan melarikan dan mengurung mangsa yang sama.

Kosmo! pada tahun lalu melaporkan, seorang pemilik kedai emas ditinggalkan di kawasan bandar Tumpat dekat sini selepas diculik selama hampir lima jam oleh sekumpulan empat individu menggunakan sebuah kereta dari Palekbang di sini pada 20 Mei tahun lalu.

Menurut sumber, mangsa yang ditinggalkan di kawasan itu ditemukan dengan mengalami kecederaan ringan.

Katanya, mangsa tidak dapat mengecam suspek yang terlibat kerana kedua-dua belah matanya ditutup dan kesemua suspek bertindak melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Suzuki Swift selepas meninggalkan mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN