KOTA BHARU – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol pelajar tingkatan tiga yang juga rakannya selama tiga hari berturut-turut di dalam bilik tidur sebuah rumah di Bachok minggu lalu.
Tertuduh, Nik Mohamad Azman Yaacob, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun lima bulan di dalam bilik tidur sebuah rumah di Bachok pada pukul 2 pagi, 30 dan 31 Mei serta 1 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim mencadangkan jaminan tinggi serta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi dan melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat sekiranya mahkamah menbenarkan ikat jamin.
Peguam Mohd. Taufikrullah Rusli bagaimanapun merayu jaminan yang munasabah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai buruh kampung dan pendapatan pula tidak menentu.
Katanya, tertuduh merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik dan menjaga ibunya berusia 64 tahun yang mempunyai penyakit saraf, manakala bapanya pula terlantar di rumah.
“Selain itu, mangsa tinggal di Besut, Terengganu, manakala tertuduh menetap bersama keluarganya di Bachok. Jadi, tiada risiko kacau ganggu terhadap saksi dan mangsa sepanjang perbicaraan dijalankan.
“Ibu, kakak dan bapa saudara tertuduh juga hadir untuk membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan. Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE














