PETALING JAYA – Farm Fresh meneruskan sambutan Hari Susu Sedunia dengan menyumbang sebanyak 55,296 kotak susu UHT Farm Fresh Grow (Susu Rumusan) kepada murid-murid prasekolah di seluruh daerah Kinta Utara, Perak baru-baru ini.
Program tersebut telah memberi manfaat kepada seramai 3,167 orang murid prasekolah daripada 67 buah sekolah di daerah tersebut.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Farm Fresh dalam menyokong amalan pemakanan sihat sejak usia muda, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengambilan susu dalam kalangan kanak-kanak.
“Program ini selaras dengan usaha berterusan untuk membantu menangani isu malnutrisi, menyokong pertumbuhan dan perkembangan generasi masa depan lebih sihat” katanya.
Di bawah Program Susu Sekolah, Farm Fresh melaksanakan pelbagai program CSR lain, termasuk lawatan pendidikan School-to-Farm, dermasiswa pelajar B40 STPM, kelas tuisyen matematik, pengedaran susu percuma dan pelbagai lagi program lain dengan Kementerian Pendidikan.
Mengulas mengenai majlis sambutan peringkat daerah itu, ia telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Meru Raya, Ipoh dengan melibatkan hampir 600 murid dan warga sekolah.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak iaitu Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Fadilah Huwary bersama pegawai daripada Sektor Pengurusan Sekolah, Ketua Penolong Pengarah Kanan Prasekolah dan Rendah, A’isah Mohd. -KOSMO! ONLINE














