ALOR GAJAH – Seorang pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini atas pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang gadis, dalam kejadian Khamis lalu.
Tertuduh, Muhammad Amir Nabil Salehuddin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan dengan menyuruh gadis berusia 20 tahun itu melakukan rangsangan seksual semasa di dalam kereta di sebuah jambatan di Jalan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (Lebuh SPA) di sini kira-kira 1.13 pagi pada 4 Jun lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,600 dengan seorang penjamin serta bersetuju dengan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa, manakala sebutan semula kes ditetapkan 15 Julai depan. – KOSMO! ONLINE














