KEMAMAN – Seorang peniaga yang kudung kaki kiri hiba barangan jualannya, beg terpakai dan ikan kering bernilai keseluruhan lebih RM6,000 musnah dalam musibah banjir yang menenggelamkan rumahnya di Kampung Padang, Kemasik di sini pada Isnin lalu.
Zainal Abidin Kamarudin, 50, berkata, dia amat terkesan kerana beg terpakai dan ikan kering itu satu-satunya sumber pendapatannya menyara keluarga sejak bergelar orang kelainan upaya (OKU), empat tahun lalu.
Dia memberitahu, kaki kirinya terpaksa dipotong akibat komplikasi diabetes kronik pada 2020.
“Habis 500 buah beg terpakai dan lebih 100 kilogram (kg) ikan kering yang siap diproses rosak akibat terendam banjir.
“Hanya Allah yang tahu perasaan saya dan isteri melihat ikan-ikan kering bertaburan di atas lantai sewaktu pulang ke rumah setelah banjir surut semalam (kelmarin),” katanya di sini semalam.
Bapa kepada lima anak tersebut berkata, susulan itu, dia terpaksa membuang kesemua ikan kering dan dua guni mengandungi 500 beg terpakai yang baharu dibeli.
“Saya dan isteri buntu kerana kami tidak mempunyai modal lagi untuk membeli barang jualan baharu. Begitupun, kami cuba berlapang dada dan reda dengan ujian Allah ini,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Yurneli Fahrudin, 52, memberitahu, stok ikan kering itu sudah diletakkan di tempat tinggi namun banjir kali ini jauh lebih besar daripada jangkaan.
Tambahnya, mereka sekeluarga bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila banyak perabot dan barangan rumah juga rosak ditenggelami bah.
“Air naik hampir 1.5 meter. Saya dan anak-anak perlahan-lahan mencuci rumah sambil berdoa tidak dilanda banjir lagi pada masa terdekat,” ujarnya.














