fbpx
Gambar hiasan.

Sasar 80 peratus jualan kenderaan baharu guna xEV menjelang 2050

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan kenderaan elektrik dan kenderaan elektrifikasi (xEV) merangkumi 80 peratus daripada jumlah jualan kenderaan baharu negara menjelang 2050, sebagai sebahagian daripada strategi mempercepat peralihan Malaysia ke arah mobiliti rendah karbon.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, sasaran itu turut merangkumi 20 peratus daripada jumlah jualan kenderaan baharu atau ‘total industry volume (TIV)’ menjelang 2030 dan 50 peratus pada 2040.

“Kerajaan kekal komited memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik sebagai sebahagian daripada strategi transformasi industri automotif negara serta peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

“Hala tuju ini selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020 yang menyasarkan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport Kenderaan Generasi Baharu, selain Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang menjadikan elektrifikasi sebagai pemacu utama sektor pembuatan negara,” kata MITI dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini.

MITI memaklumkan bagi menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta kerajaan menyatakan pendekatan dan perancangan strategik kerajaan dalam memperluaskan penggunaan EV di Malaysia.

Menurut MITI, kerajaan memberi tumpuan kepada tiga aspek utama bagi mencapai sasaran tersebut iaitu merangsang permintaan, memperkukuh infrastruktur pengecasan serta membangunkan ekosistem industri EV tempatan.

“Dari aspek merangsang permintaan dan kemampuan pemilikan, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif fiskal termasuk pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV import sepenuhnya sehingga 31 Disember 2025 serta EV pemasangan tempatan sehingga 31 Disember 2027.

“Di samping itu, pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 setahun turut diberikan bagi perbelanjaan berkaitan kemudahan pengecas EV di kediaman sehingga Tahun Taksiran 2027, manakala Program MARiiCas menyediakan rebat sehingga RM2,400 bagi pembelian motosikal elektrik,” katanya.

Dalam masa sama, MITI memaklumkan, tumpuan kerajaan kini beralih daripada kebergantungan kepada kenderaan import sepenuhnya kepada pengukuhan industri pemasangan tempatan (CKD).

Jelas beliau, langkah itu bagi memastikan Malaysia tidak hanya menjadi pasaran pengguna kepada kenderaan luar, sebaliknya mampu menarik pengeluar automotif global menjalankan operasi pemasangan tempatan secara usaha sama dengan pemain industri negara.

“Pendekatan ini bertujuan memacu pemindahan teknologi tinggi, membina rantaian bekalan komponen bernilai tinggi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak tempatan.

“Kerajaan mahu pembangunan EV diterjemahkan kepada nilai tambah domestik yang lebih besar, bukan sekadar peningkatan penggunaan kenderaan elektrik di jalan raya,” katanya.

Mengulas mengenai infrastruktur pengecasan, MITI berkata, sebanyak 6,416 unit pengecas awam telah dipasang di seluruh negara sehingga 31 Mei 2026.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,143 unit merupakan pengecas pantas arus terus (DC), manakala 4,273 unit lagi adalah pengecas arus ulang-alik (AC).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN