KOTA BHARU – Nenek kepada seorang remaja yang lemas semasa mandi bersama tiga rakan di pintu air Pangkal Kalong, Kok Lanas di sini petang semalam terkejut apabila cucunya itu mengajak untuk menziarahi pusara datuknya pada Jumaat lalu.
Ibu mangsa, Nurafidah Mohd. Yusuf, 31, berkata, anaknya, Muhammad Aqif Aisar Azrie Faisal, 13, sebelum ini beria-ria mengajak nenek, Zaiton Awang Hamat, 57, ke kubur datuknya dengan memberi alasan bahawa sudah lama tidak ke sana.
Menurutnya, dia dan ibunya terkejut melihat perubahan sikap Muhammad Aqif yang secara tiba-tiba mahu ke pusara datuknya.
“Dia sebelum ini tidak pernah bermain air atau mandi di kawasan pintu air itu. Muhammad Aqif memang takut air dan tidak pandai berenang.
“Dia keluar dari rumah nenek bersama rakan-rakan-rakannya untuk mandi di pintu air itu. Saya tiada di rumah ketika itu kerana keluar membeli ubat-ubatan untuk ibu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Nurafidah memberitahu, Muhammad Aqif yang merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik itu menumpang di rumah neneknya selepas pulang dari sekolah kerana dia sedang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai
Menurutnya, difahamkan, anaknya itu keluar dengan membonceng motosikal bersama seorang rakan untuk ke pintu air itu bersama dua lagi kawannya.
“Saya tidak boleh terima Muhammad Aqif mandi di sungai kerana dia sebelum ini tidak suka kotor. Selain itu, dia juga takut dengan lintah, cacing dan pacat. Dia akan menjerit apabila melihat haiwan-haiwan itu,” ujarnya yang turut memaklumkan, mangsa dijumpai lemas di pintu air itu kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Kosmo! Online semalam melaporkan, kegembiraan empat remaja lelaki yang bermandi-manda di pintu air Pangkal Kalong, Kok Lanas di sini berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas di kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE