RUGI rasanya rakyat Malaysia yang bercuti di Thailand meskipun hanya berada di Selatan Thailand jika tidak mencuba perkhidmatan urut cara Thai yang terbaik.
Layanan si gadis manis dan juga mereka yang berpengalaman dalam bidang itu membuatkan kiraan jam selama sejam mendapat manfaat berurut tidak kiralah di bahagian kaki sahaja atau di seluruh badan begitu pantas berlalu.
Pelbagai pakej urutan ditawarkan dan mereka yang bekerja sebagai tukang urut begitu memahami kehendak pelanggan untuk menawarkan perkhidmatan terbaik, selesa dan merihatkan.
Lain pula dengan khidmat urut yang ditawarkan oleh tukang urut rakyat Malaysia sendiri yang membuka kios-kios sementara di tapak ekspo dan pameran yang menjadi tumpuan orang ramai.
Pengalaman rakan penulis pada hujung minggu baru-baru ini di sebuah tapak ekspo telah meninggalkan satu trauma dalam hidupnya apabila terasa seperti didera emosi dan fizikal ekoran tindakan seorang tukang urut yang mengurutnya dengan teknik yang menyakitkan, malah sanggup menjual produk kesihatan sepanjang tempoh berurut tersebut.
Bayaran RM50 mengurut di bahagian kaki yang dikenakan tidak berbaloi dengan nikmat kesihatan yang dirasainya, malah terpaksa telan ubat tahan sakit untuk membolehkan dia menghilangkan rasa sakit di kakinya.
Sepertimana yang diketahui di kedua-dua tapak kaki kita jika pandai teknik urutannya pasti dapat melegakan kesakitan yang dialami tetapi jika ia diurut dengan cara menyakitkan membuatkan pelanggan itu berada tidak selesa.
Tidak semua pelanggan kuat menahan sakit di bahagian tapak kaki di celah-celah jari kaki jika ia ditekan bertubi-tubi selain dimaklumkan bahawa status kesihatan pelanggan itu sihat.
“Adik ni banyak kolesterol tinggi, saya tekan di sini adik rasa sakit dan sini adik rasa sakit tandanya adik ada masalah buah pinggang, jadi adik kena berbekam di gerai kami ini, bila dah bekam adik akan kembali sihat,” nasihat tukang urut itu.
Kerisauan mengenai kadar kolesterol yang tinggi dan masalah buah pinggangnya yang tidak sihat membuatkan keesokan harinya dia membuat satu pemeriksaan kesihatan dan mendapati kadar kolesterolnya tidak tinggi, malah berada pada paras yang baik.
Sepatutnya, mereka yang bekerja di mana-mana pusat urutan perlu menggunakan khidmat profesional masing-masing untuk menawarkan khidmat urutan yang terbaik, gunakan kemahiran masing-masing untuk menawan hati pelanggan agar mereka selesa dan ceria lantas mahu berkunjung lagi pada masa depan.
Ini bukan tempat untuk menunjukkan kemahiran sebagai doktor yang menasihati tahap kesihatan pelanggan dan bukan tempat untuk menjual produk penjagaan kesihatan, minyak angin atau perkhidmatan sampingan.
Disebabkan faktor itu, industri urutan tradisional tempatan semakin layu kerana ia telah disalahgunakan oleh mereka yang pandai mengambil kesempatan atas kelemahan mereka yang sedang mengalami kesakitan. -KOSMO! ONLINE














