KUALA LUMPUR – Penganjuran Sukaneka Kampung Sri Batu bukan sahaja memupuk gaya hidup sihat, malah menjadi medium merapatkan hubungan antara generasi muda dan golongan dewasa dalam komuniti.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Sri Batu (PPKSB), Amran Sulaiman berkata, penglibatan kanak-kanak menjadi keutamaan kerana mereka merupakan pemimpin masa depan yang perlu didedahkan dengan semangat kemasyarakatan sejak kecil.
“Kita fokus kepada generasi kanak-kanak. Apabila mereka hadir dan seronok menyertai program, mereka akan mengajak rakan-rakan lain untuk datang pada masa akan datang.
“Daripada situ akan lahir budaya baharu dalam kampung. Bukan sahaja kanak-kanak datang, malah ibu bapa mereka turut bersama-sama memeriahkan program,” katanya ketika ditemui pada Sukaneka Kampung Sri Batu di Dewan Masyarakat Kampung Sri Batu, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu penting bagi mengurangkan jurang antara generasi yang semakin renggang akibat terlalu bergantung kepada penggunaan gajet dan kurang berinteraksi secara bersemuka.
Katanya, jika generasi muda tidak didedahkan dengan aktiviti kemasyarakatan sejak awal, mereka akan kurang mengambil peduli terhadap komuniti setempat apabila dewasa kelak.
“Tujuan kita bukan sekadar menganjurkan sukan, tetapi mendidik generasi akan datang supaya mereka mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Kita mahu mereka membesar dengan budaya saling mengenali, saling membantu dan mengambil berat antara satu sama lain,” ujarnya.
Program itu turut menghimpunkan peserta daripada pelbagai peringkat umur dengan peserta termuda berusia lima tahun, manakala peserta paling tua berusia 80 tahun sekali gus mencerminkan penyertaan menyeluruh seluruh lapisan masyarakat.
Beliau berkata, program tahun ini berjaya menarik antara 250 hingga 300 peserta dengan penyertaan kanak-kanak meningkat ketara berbanding tahun lalu.
Tambahnya, jumlah penyertaan keseluruhan turut meningkat kira-kira 30 peratus berbanding penganjuran sebelum ini sekali gus membuktikan sambutan penduduk terhadap aktiviti komuniti semakin menggalakkan.
“Saya berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, penduduk akan hadir secara sukarela kerana budaya menyertai program kampung sudah sebati dalam diri mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














