fbpx

Attar Azim ceria, tidak sabar jumpa kawan baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATTAR AZIM (kiri) bersama ibu saudaranya, Umi Salwa di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Trolak Utara, Felda Trolak Utara, Sungkai hari ini.

TANJUNG MALIM – Seorang kanak-kanak lelaki yang kehilangan empat ahli keluarga termasuk ibu bapa dalam kemalangan jalan raya di Kuala Krai, Kelantan 2 Mac lalu memulakan sesi persekolahannya hari ini.

Attar Azim Syukran Jamil, 9, yang hadir ke Sekolah Kebangsaan (SK) Trolak Utara pada pukul 7.20 pagi dengan berpakaian lengkap seragam pengawas kelihatan ceria dan bersemangat sambil ditemani ibu saudaranya, Umi Salwa Ab. Hamid, 40.

Menurut murid Tahun Tiga itu, dia teruja untuk memulakan sesi persekolahannya hari ini selain tidak sabar untuk bertemu dengan guru dan rakan-rakan baharu.

“Pagi tadi, Attar bangun untuk bersahur tapi lepas itu tidur semula. Pada pukul 6.30 pagi, barulah Attar bangun untuk bersiap ke sekolah.

“Attar tak sabar nak belajar dan jumpa kawan-kawan. Seronok dapat jumpa kawan-kawan baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Trolak Utara, Sungkai di sini hari ini.

Attar Azim yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu berpindah dari SK Desa Pandan, Kuala Lumpur ke SK Trolak Utara dan tinggal bersama datuk dan neneknya di kediaman mereka.

Sementara itu, Umi Salwa berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana urusan pertukaran sekolah anak saudaranya itu bukan sahaja dipermudahkan, malah kanak-kanak itu juga gembira dengan sekolah baharu.

Katanya, dia yang tinggal bersama datuk dan nenek Attar Azim akan membantu mengurus dan menyiapkan kanak-kanak itu untuk ke sekolah.

“Kebetulan, anak saya pun bersekolah di sini, jadi sebelah pagi saya akan siapkan mereka dan hantar ke sekolah sebelum dibawa pulang abang yang juga guru di sini.

“Setakat ini, Attar Azim nampak gembira di sini. Alhamdulillah, lihat dia seronok sekolah cuma jangan sentuh emosinya, dia tak boleh lagi (melupakan kejadian itu),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI