fbpx

MotoGP: Martin harap tuah ‘livery’ baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARTIN berharap warna dan corak baharu jenteranya mampu membawa tuah untuk membantunya merangkul kejuaraan dunia musim ini. - FB PRAMAC RACING

MANAMA – Pelumba utama Pramac Racing, Jorge Martin mengharapkan perubahan corak livery jentera pasukan pada kempen MotoGP musim ini dapat memberi tuah kepadanya untuk mencabar kejuaraan dunia nanti.

Pasukan satelit Ducati itu telah melancarkan jentera rasmi awal pagi semalam sebelum mengharungi perlumbaan pembukaan Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Lusail pada 10 Mac depan.

Menurut Martin, perubahan kali ini agak ketara memandangkan warna yang dipilih adalah hitam dan ungu yang lebih dominan dengan gabungan warna merah yang sebati dengan Ducati.

“Ini adalah perubahan besar kerana saya telah bersama pasukan sejak tiga tahun dan sebelum ini kami memang sinonim dengan warna putih. Namun, kali ini pendekatan yang diambil agak berbeza dan nampak garang di atas litar nanti.

“Justeru, saya harap jentera baharu ini dapat memberi tuah kepada saya dalam usaha mencabar kejuaraan dunia selepas hanya berpuas hati di kedudukan naib juara pada musim lalu,” kata Martin.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Pramac, Franco Morbidelli turut mengharapkan musim 2024 dapat membantunya bangkit ke landasan sebenar selepas agak bergelut ketika mewakili Monster Yamaha tahun lalu.

“Saya kini menyertai pasukan yang cukup kompetitif dan percaya peluang untuk harumkan kembali nama saya di pentas elit sangat terbuka,” kata pelumba berusia 30 tahun itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI