fbpx

Pesakit diminta pulang, lebih 6,000 doktor di Korea mogok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA kakitangan hospital berjalan di sebuah hospital di Gwanju, Isnin lalu. - Foto AFP

SEOUL  – Hospital di seluruh Korea Selatan berada dalam situasi ‘huru-hara’ apabila banyak  pembedahan dan temu janji antara pesakit dan doktor terpaksa dibatalkan, lapor akhbar The Korean Times semalam.

Situasi itu berlaku selepas seramai 6,415 doktor muda meletak jawatan beramai-ramai kerana  membantah rancangan kerajaan meningkatkan kuota pelajar perubatan di universiti-universiti di  Korea Selatan.

Beberapa buah hospital utama yang terpaksa membatalkan pembedahan ke atas pesakit kini memikirkan untuk mengurangkan separuh operasi mereka jika keadaan menjadi bertambah  buruk.

Kekurangan doktor muda itu juga mendorong sebilangan hospital membenarkan pesakit kanser pulang.

Tindakan bersepadu yang dilakukan  doktor-doktor muda itu menimbulkan kebimbangan mengenai krisis penjagaan kesihatan menjadi semakin serius dan mengancam para pesakit.

Kira-kira 600 daripada 612 doktor muda di Hospital Severance, Sinchon, menyerahkan surat peletakan jawatan mereka. Ini menjadikan hospital berkenaan sebagai antara kemudahan perubatan yang paling teruk  terjejas di Korea Selatan.

“Saya pada mulanya dijadualkan menjalani pembedahan tulang belakang bulan ini. Namun, selepas pemeriksaan dilakukan, saya dimaklumkan bahawa pembedahan terpaksa ditangguhkan,” kata seorang pesakit berusia dalam lingkungan 50-an dikenali sebagai Kim.

Walaupun tiada surat peletakan jawatan tersebut diluluskan oleh pihak hospital, Kementerian Kesihatan dan Kebajikan melaporkan bahawa seramai 1,630 doktor muda tidak melaporkan diri untuk bekerja semalam.

Pihak kementerian tidak memberikan jumlah tepat pembedahan dan rawatan yang tertangguh disebabkan oleh mogok tersebut  berkata, sebanyak 34 aduan telah difailkan setakat ini.

Kerajaan bertindak balas segera dengan melanjutkan waktu operasi hospital dan membuka hospital tentera kepada orang ramai sebagai langkah penyelesaian sementara.

Namun, pelajar-pelajar universiti perubatan turut menyertai protes tersebut dengan memohon cuti.

Seramai 1,133 pelajar perubatan di tujuh universiti mengemukakan permohonan cuti setakat petang kelmarin tetapi hanya empat daripada mereka yang diluluskan, demikian menurut Kementerian Pendidikan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI