PETALING JAYA – Tindakan murni sepasang suami isteri memberikan daging korban kepada jururawat di sebuah hospital menyentuh hati pengguna media sosial.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Ziemohdghani, pemberian itu dilakukan sebagai tanda penghargaan terhadap petugas barisan hadapan yang bertugas tanpa mengira masa, termasuk pada hari perayaan.
Menurutnya, suaminya yang merupakan pesakit buah pinggang datang untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Unit Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan (CAPD), Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban baru-baru ini.
“Semalam hantar suami ke CAPD Tingkat 1 pukul 7 malam sebab kecemasan. Baru tahu nurse (jururawat) sibuk bekerja sampai tak sedar Hari Raya Korban.
“Jadi kami hantar daging bahagian kami pada semua jururawat di CAPD. Dah setahun kami ulang-alik dan jumpa mereka,” katanya.
Jelasnya lagi, hubungan rapat yang terjalin sepanjang setahun menerima rawatan di situ membuatkan mereka sangat menyenangi kesemua kakitangan di hospital tersebut.
“Staf hospital yang sangat kami senangi. Terima kasih atas segala jasa baik menyantuni kami sejak setahun yang lalu,” ujarnya lagi.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut memuji sifat pemurah pasangan tersebut yang menghargai pengorbanan jururawat semasa hari raya.
“Alhamdulillah, ada juga yang menghargai warga Kementerian Kesihatan (KKM),” kata Ziehanarshad.
“Sepanjang saya berada di wad CAPD dulu, jururawat semua baik-baik saja. Sangat membantu,” jelas Sad_Anime17. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














