fbpx
PUSAT data boleh dioptimumkan dengan penggunaan teknologi AI. – Gambar hiasan

Era baharu pusat data dipacu teknologi AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMUNCULAN teknologi kecerdasan buatan (AI) telah mengubah landskap pusat data moden, apabila syarikat di seluruh dunia semakin bergantung kepada sistem digital itu untuk mengurus operasi harian.

Dalam era transformasi digital yang berkembang pantas, keperluan terhadap pusat data yang lebih pintar, pantas dan selamat menjadi semakin penting terutama apabila penggunaan AI semakin meluas dalam pelbagai sektor seperti kewangan, kesihatan, pendidikan, logistik dan perkilangan.

Sehubungan itu, Dell Technologies memperkenalkan pelbagai inovasi baharu yang direka khusus bagi memenuhi keperluan pusat data moden untuk era AI.

Menurut Naib Presiden dan Penganalisis Utama Moor Insights dan Strategy iaitu sebuah firma penganalisis teknologi bebas, Matt Kimball, teknologi itu bukan sahaja membantu organisasi mengurus data dengan lebih cekap, malah memberi kelebihan besar dari segi automasi, keselamatan siber dan pengurusan infrastruktur digital.

“AI memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi sistem penyimpanan data menerusi platform baharu Dell PowerStore Elite.

“Teknologi ini menggunakan perisian dipacu AI untuk mempercepatkan pemprosesan data serta mengoptimumkan kapasiti penyimpanan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Tambahnya, dalam dunia perniagaan hari ini, syarikat perlu mengendalikan jumlah data yang sangat besar pada setiap hari.

Dengan bantuan AI, sistem mampu menganalisis corak penggunaan data secara automatik bagi memastikan prestasi kekal optimum tanpa memerlukan campur tangan manual yang kerap.

Selain itu, fungsi AI juga membantu mengurangkan kos operasi apabila sistem dapat mengurus penggunaan storan dengan lebih efisien.

Kongsi Kimball lagi, hal ini penting bagi sektor seperti perbankan dan e-dagang yang memerlukan pemprosesan data masa nyata untuk memastikan transaksi berjalan lancar.

“AI juga membolehkan peningkatan sistem dilakukan tanpa mengganggu operasi syarikat, sekali gus mengelakkan risiko kehilangan data atau gangguan perkhidmatan.

“Dalam bidang pengkomputeran berprestasi tinggi pula, AI membantu mempercepatkan pemprosesan kerja kompleks seperti analisis data besar, simulasi saintifik dan pembangunan model pembelajaran mesin,” ujarnya.

Jenama Dell turut memperkenalkan generasi baharu pelayan PowerEdge yang direka untuk menyokong keperluan AI dan beban kerja intensif.

Teknologi penyejukan udara dan cecair yang digunakan pada sistem itu membolehkan pusat data mengendalikan kuasa pemprosesan tinggi tanpa menghasilkan haba berlebihan.

Keupayaan AI dalam bidang itu sangat penting terutama bagi industri yang menggunakan teknologi analitik lanjutan.

Sebagai contoh, sektor kesihatan boleh menggunakan AI untuk menganalisis imej perubatan dengan lebih pantas.

Keperluan terhadap pusat data lebih pintar, pantas dan selamat menjadi semakin penting.

Manakala industri automotif memanfaatkan AI untuk pembangunan kenderaan autonomi.

Dalam sektor kewangan, AI digunakan bagi mengenal pasti corak transaksi mencurigakan serta membantu membuat ramalan pasaran dengan lebih tepat.

Menurut Kimball, ancaman keselamatan siber yang semakin kompleks turut menjadikan AI sebagai komponen penting dalam perlindungan data.

“Dell memperkenalkan PowerProtect One dan Dell Cyber Detect yang menggunakan AI untuk mengesan ancaman siber termasuk serangan ransomware.

“Teknologi ini mampu mengenal pasti aktiviti mencurigakan pada peringkat awal dengan ketepatan sangat tinggi melalui analisis data secara terperinci,” jelasnya.

Fungsi AI dalam keselamatan siber membolehkan organisasi bertindak lebih pantas sebelum serangan merebak dan menyebabkan kerosakan besar.

Sistem juga boleh mengenal pasti salinan data terakhir yang selamat untuk tujuan pemulihan segera.

Keupayaan itu amat penting terutama bagi sektor kritikal seperti hospital, institusi kewangan dan agensi kerajaan yang memerlukan perlindungan data tahap tinggi.

Selain keselamatan, AI turut memainkan peranan besar dalam automasi pengurusan infrastruktur digital.

Presiden Kumpulan Penyelesaian Infrastruktur, Dell Technologies, Arthur Lewis berkata, platform Dell Automation Platform telah memperkenalkan penggunaan ejen AI bersama antara muka perbualan generatif bagi memudahkan proses pemantauan dan pengurusan sistem.

“Melalui teknologi ini, pasukan dapat mengawal operasi pusat data dengan lebih mudah serta mengurangkan beban kerja manual. AI juga membolehkan organisasi membangunkan aliran kerja automasi secara khusus menerusi Dell Automation Studio,” kongsinya.

Menariknya, sistem itu dapat membantu mempercepatkan penyampaian perkhidmatan serta mengurangkan kerumitan operasi teknologi maklumat.

Dalam dunia perniagaan moden, automasi berasaskan AI bukan lagi sekadar pilihan. Sebaliknya, ia menjadi keperluan utama untuk memastikan organisasi kekal kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN