SEJAK mula beroperasi sekitar dua tahun lalu, kafe Sip N’ Slice menawarkan piza sebagai sajian utamanya sebelum dikembangkan kepada variasi pilihan hidangan buat pelanggan.
Menggabungkan elemen makanan, keselesaan dan kesedaran tentang penjagaan kesihatan mulut, kafe itu terletak di Jalan Bandar 2, Taman Melawati, Kuala Lumpur bersebelahan dengan Astana Dental.
Diasaskan Dr. Tengku Afiq Bukhari, idea membuka kafe itu tercetus daripada keinginan menyediakan ruang lebih santai untuk berinteraksi dan berbincang dengan pesakit berbanding suasana formal di klinik.
“Saya mahu wujudkan konsep sama seperti di hospital yang mempunyai kafe bagi memberikan keselesaan kepada pelawat untuk menikmati makanan atau berbual.
“Konsep sebegini secara tidak langsung membantu pesakit juga berasa lebih tenang dan santai ketika mendapatkan penerangan berkaitan rawatan pergigian atau perundingan.
“Pada masa sama kafe ini juga secara tidak langsung dapat memberi mesej kepada pelanggan agar tidak lupa untuk membuat pemeriksaan gigi sekurang-kurang dua kali setahun,” katanya ketika ditemui CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, perjalanan kafe tersebut bermula secara kebetulan apabila barista di kafe itu yang juga merangkap sebagai cef memiliki kemahiran dalam pembuatan piza.
Berbekalkan kemahiran yang ada itu secara tidak langsung menjadi ‘kiblat’ Sip N’ Slice mengetengahkan sajian bercirikan cita rasa Itali.
“Kebetulan piza juga sinonim dengan budaya makan berkongsi dan itu kelihatan sesuai dengan matlamat klinik yang ingin berkongsi kebahagian dengan pesakit.
“Setelah itu kami kembangkan pilihan menu kepada beberapa sajian penyediaan menu lain berkonsep Itali untuk disesuaikan dengan piza seperti focaccia (sandwic), pasta dan pankek.

“Ini juga disesuaikan dengan waktu operasi klinik bermula pukul 9.30 pagi hingga 10 malam sementara kafe pula seawal 8.30 pagi hingga 9.30 malam.
“Sebelum ini kami pernah mencuba untuk mengikut selera tular dengan menjual ayam gepuk tetapi setelah dikaji semula, hidangan itu tidak sesuai dengan matlamat kami iaitu sajian makanan Itali,” katanya.
Antara hidangan menarik ialah focaccia golden shrimp, focaccia pastrami beef, pankek klasik, pankek creamcheese, pankek scramble egg crispy bacon, pasta spicy creamy Thai dan pasta carbonara.
Bagi pilihan piza pula ialah beef pepperoni, carnivore, wagyu, magherita dan chicken pepperoni di samping menu sampingan antaranya original wings serta parmesan truffle fries.
Bukan sahaja makanan, malah kafe ini turut menawarkan pelbagai pilihan minuman termasuk berasaskan matcha seperti latte, chocolate, classic matcha, signature matcha, creamy matcha, mango matcha, caramel matcha dan matcha cloud.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan tentang rancangan penjenamaan semula kafe Sip N’ Slice kepada Doc Hood secara rasmi dalam tempoh masa terdekat.
Katanya, langkah itu diambil bagi mewujudkan asimilasi antara industri makanan dan perubatan sekali gus selaras dengan identiti dan matlamat.
“Setelah hampir dua tahun beroperasi, jadi saya mengambil keputusan untuk melakukan sedikit perubahan dengan menukar nama kafe supaya dapat dilihat seiring nama klinik iaitu Astana Dental.
“Bahkan saya juga berazam untuk menjadikan jenama ini sebagai francais sekali gus membuktikan golongan bumiputera juga mampu membangunkan jenama makanan sama seperti jenama makanan segera antarabangsa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebuah lagi cawangan Doc Hood bakal dibuka di Bukit Jelutong bagi memenuhi permintaan pelanggan dan memperluas cawangan dalam tempoh masa terdekat.














