fbpx
BELGIUM meraikan kemenangan selesa 4-1 ke atas Amerika Syarikat (AS) di Stadium Seattle, sebentar tadi.

Piala Dunia 2026: Belgium singkir tuan rumah AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEATTLE – Belgium menampilkan aksi cukup meyakinkan apabila membelasah tuan rumah, Amerika Syarikat (AS) 4-1 untuk mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Dunia 2026 di Stadium Seattle, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Red Devils menjadi pasukan terakhir melengkapkan senarai lapan terbaik, sekali gus mengakhiri impian AS di hadapan penyokong sendiri selepas Kanada dan Mexico turut tersingkir pada pusingan 16 terbaik.

Belgium bermula garang apabila Charles De Ketelaere meletakkan pasukan di depan seawal minit kesembilan selepas mudah menyudahkan hantaran Nicolas Raskin susulan kekalutan di dalam kotak penalti AS.

Bagaimanapun, skuad kendalian Mauricio Pochettino kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-31 menerusi sepakan percuma Malik Tillman yang terkena pemain lawan sebelum memperdayakan penjaga gol, Thibaut Courtois.

Namun, kegembiraan AS hanya bertahan seketika apabila De Ketelaere sekali lagi meledak gol dua minit kemudian menerusi tandukan hasil hantaran silang Leandro Trossard untuk mengembalikan kelebihan Belgium sebelum rehat.

Belgium terus menguasai permainan pada babak kedua dan kesilapan penjaga gol AS, Matt Freese yang gagal mengeluarkan bola dengan kemas membuka ruang kepada Hans Vanaken meledak gol ketiga pada minit ke-57 untuk melebarkan jurang.

AS cuba bangkit pada penghujung perlawanan menerusi beberapa percubaan Folarin Balogun, namun Courtois tampil cemerlang mempertahankan gawangnya sebelum penyerang gantian, Romelu Lukaku melengkapkan kemenangan bergaya Belgium menerusi jaringan pada masa kecederaan.

Kejayaan itu menyaksikan Belgium bakal membuat perhitungan dengan Sepanyol di Stadium Los Angeles pada 11 Julai bagi memburu tiket ke separuh akhir, manakala AS terpaksa melupakan hasrat mencipta sejarah di bumi sendiri selepas perjalanan mereka berakhir di pusingan 16 terbaik. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN