SEBERANG PERAI – Seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas disamun sekumpulan suspek bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sungai Daun, Taman Bistari di sini, Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintenden Mohd. Norazmi Abd. Ghapar berkata, pihak polis telah menjalankan siasatan dan tindakan pengesanan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.29 malam itu.
Menurutnya, mangsa berusia 27 tahun itu telah diserang menggunakan parang sehingga mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta kedua-dua tangan.
“Suspek kemudiannya melarikan wang tunai, beberapa kotak rokok dan sebuah beg silang milik mangsa dengan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM500.
“Mangsa menerima rawatan awal di Hospital Sungai Bakap sebelum dirujuk ke Hospital Sunway dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Beliau berkata, polis turut mengesan satu rakaman video berdurasi tiga minit 18 saat berkaitan kejadian itu yang tular di aplikasi Facebook semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE














