fbpx

Laluan LRT ke Masjid Jamek dibuka esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi laluan Ampang dan Putra Height kini diteruskan ke Stesen Masjid Jamek mulai esok sehingga 16 Februari depan.

Ketua Pegawai Operasi LRT, Rapid Rail (Sdn Bhd. (Rapid Rail) Nor Azmi Mohd. Yusof berkata, dalam tempoh percubaan itu, penumpang tidak perlu lagi turun di Stesen Hang Tuah bagi tujuan mendapatkan tren perantara untuk ke Stesen Masjid Jamek.

Bagaimanapun, Nor Azmi berkata, penumpang masih perlu mendapatkan khidmat bas perantara percuma bagi meneruskan perjalanan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya.

“Rapid Rail akan menjalankan operasi percubaan akhir perkhidmatan LRT di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya, sebagai persiapan sebelum pembukaan semula laluan ini kepada pengguna.

“Pelaksanaan operasi percubaan akhir ini dijalankan sebagai mematuhi piawaian operasi dalam langkah untuk memastikan keselamatan pengguna dan kebolehpercayaan sistem rel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya ditutup sejak awal tahun lalu ekoran kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat melalui kawasan berkenaan.

Kata Nor Azmi, penambahan tren LRT juga akan dibuat bermula esok daripada 24 kepada 31 tren selain meningkatkan kekerapan pada waktu puncak dengan masa menunggu 3.5 minit bagi daerah pusat perniagaan dan tujuh minit luar daerah pusat perniagaan.

Selain itu katanya, pembukaan penuh laluan itu dijangka dilaksanakan pada penghujung Februari depan bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak berkuasa.

“Kerja-kerja membaik pulih struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen Bandaraya yang telah selesai sepenuhnya turut membabitkan penukaran beberapa komponen landasan di sekitar kawasan yang terbabit.

“Rapid Rail berharap dengan pembukaan semula laluan ini kelak, ia dapat mengembalikan keselesaan pengguna dan jumlah penumpang akan dapat ditingkatkan kerana penumpang tidak perlu lagi menukar tren atau menggunakan khidmat bas perantara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI