fbpx
Tangkap layar video tular memaparkan seorang peniaga didakwa mengambil air dari pili tandas awam.

‘Nak jual mahal tak apa, jangan guna air dari tandas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan seorang peniaga minuman yang didakwa menggunakan air dari pili tandas untuk menyediakan minuman jualannya mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial.

Menerusi hantaran tular di Threads oleh pengguna dikenali sebagai Zaidon Muhammad Amri, dia memuat naik beberapa video yang menunjukkan sebuah hos disambungkan ke kawasan berhampiran tandas awam sebelum dipercayai digunakan untuk mengisi balang air.

Menurutnya, kejadian itu didakwa berlaku ketika satu acara berlangsung dan menimbulkan persoalan mengenai tahap kebersihan serta sumber air yang digunakan oleh peniaga terbabit.

“Peniaga air boleh tak senonoh sikit perangai, ambil air terus dari pili tandas macam ni, masa ‘event’ pula tu.

“Lepas tu cas air RM5. Nak cas mahal orang boleh faham, tapi biarlah berbaloi. Kembang tekak tengok,” tulisnya.

Bagaimanapun, individu tersebut tidak mendedahkan lokasi atau identiti peniaga yang dimaksudkan dan mengakui dia percaya perkara itu mungkin hanya melibatkan segelintir peniaga sahaja.

Di ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa bimbang sekiranya dakwaan itu benar berlaku.

Seorang pengguna, Faezal Ejay mendakwa pernah melihat beberapa peniaga menggunakan kaedah yang sama.

“Kebanyakannya memang macam ni, sebab dah pernah nampak tiga hingga empat peniaga air guna paip,” katanya.

Sementara itu, ada juga peniaga air balang yang tampil menafikan tidak semua dalam kalangan mereka menggunakan air paip untuk membancuh.

“Saya peniaga air balang. Dua hari sekali tadah air tapis 10 botol. Jemput singgah semua,” komen Lieya.

“Saya pun peniaga air balang. Siap tadah air penapis bertong tong setiap hari. Anak-anaklah yang tolong tadah,” komen Bob pula. -KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN