fbpx
Anthony pada sidang akhbar selepas Menai kawasan insiden tren tergelincir di Stesen LRT Chan Sow Lin, hari ini.

Sistem selenggara LRT, MRT mungkin diaudit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan tidak menolak kemungkinan audit dalaman terhadap keseluruhan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) di bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad susulan insiden tren tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama pihak pengurusan Prasarana bagi memastikan tahap keselamatan sistem rel negara sentiasa terjamin.

Menurutnya, pasukan petugas khas yang ditubuhkan kerajaan bukan sahaja menyiasat punca kejadian, malah akan meneliti aspek penyelenggaraan yang diamalkan oleh syarikat pengendali tersebut.

“Pasukan petugas khas akan melihat keseluruhan punca kejadian dan juga dari segi regim maintenance dalam Prasarana.

“Namun begitu, dari segi keseluruhan sistem LRT dan MRT di bawah kendalian Prasarana, itu mungkin perlu buat satu audit dalaman terhadap keseluruhan sistem itu,” katanya pada sidang akhbar selepas selepas tinjauan kawasan insiden tren tergelincir di Stesen LRT Chan Sow Lin, hari ini.

Beliau berkata, penyelenggaraan landasan sebenarnya dilakukan setiap malam ketika waktu kejuruteraan selepas operasi tren tamat.

Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan lazimnya dijalankan antara tengah malam hingga pukul 5 pagi bagi memastikan landasan dan sistem rel berada dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan perlu menentukan sama ada komponen suis landasan yang terlibat dalam kejadian itu disenggara dengan sempurna atau sebaliknya.

“Penyelenggaraan harian memang dibuat, tetapi sama ada switch station itu disenggara dengan baik ataupun berada dalam keadaan yang baik, itu perlu disiasat melalui siasatan yang lebih mendalam,” ujarnya.

Anthony berkata, semua log sistem termasuk rekod pusat kawalan operasi (OCC), sistem isyarat dan maklumat berkaitan akan diperiksa oleh pasukan petugas khas.

Menurutnya, kakitangan yang bertugas di pusat kawalan serta pemandu tren juga akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan menyembunyikan sebarang dapatan kerana insiden tersebut perlu dijadikan pengajaran untuk memperkukuhkan budaya integriti dan akauntabiliti dalam sektor pengangkutan awam.

Terdahulu, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin sehingga menyebabkan gangguan operasi dan perubahan jadual perjalanan penumpang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN