KUALA NERUS – Tiada apa yang diimpikan seorang ibu tunggal dari Batu Rakit di sini selain melihat anak bongsunya yang menghidap penyakit genetik, Crouzon Syndrome dalam kembali pulih seperti kanak-kanak lain.
Jamilah Ali, 53, berkata, penyakit genetik yang dialami Muhammad Azan Qalis Azahar, 11, sejak kecil itu menyebabkan salur pernafasan anaknya menjadi sempit sehingga memerlukan pembedahan segera.
Bagaimanapun, kekangan kewangan menyebabkan Jamilah ini menjadi buntu sehingga perlu mengharapkan ihsan orang ramai bagi membantu menampung kos pembedahan yang dianggarkan berjumlah RM50,000.
“Pembedahan yang dijadual dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu perlu dilakukan kerana salur pernafasan Azan kini dilihat semakin menyempit sekali gus menjejaskan sistem penafasannya.
“Begitupun buat masa ini, saya tidak mampu untuk membiayai kos pembedahan tersebut yang berjumlah RM50,000,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit, di sini semalam.
Jamilah yang berniaga gerai makan dengan pendapatan bulanan kira-kira RM1,500 mengakui telah berusaha untuk menambah pendapatan dengan bekerja sambilan sebagai pemandu e-hailing.
Ibu lima anak itu berkata, namun buat masa ini simpanannya masih jauh daripada kos pembedahan RM50,000 diperlukan.
Menceritakan kondisi kesihatan Azan yag kini bersekolah di Sekolah Khas Kampus Datuk Razali Ismail, Jamilah berkata, anaknya itu mula didiagnos penyakit Crouzon Syndrome sewaktu berusia enam bulan.
“Penyakit genetik tersebut menyebabkan rangka muka anak saya (Azan) tidak membesar mengikut usia.
“Sebelum ini, dia pernah menjalani pembedahan membuka tempurung kepala bagi memastikan perkembangan otaknya tidak terganggu sewaktu berusia dua tahun,” katanya.
Jamilah berkata, Azan memerlukan satu lagi pembedahan baharu bagi membesarkan rangka mukanya yang telah menyempitkan salur pernafasan.
Susulan itu, dia merayu bantuan orang ramai bagi membolehkan pembedahan Azan dapat dilakukan segera.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Jamilah bernombor 1110241000168903 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubunginya di talian 013-9897483.














