BUKAN kali pertama tetapi konsert Rumah Hati bakal menjadi pentas sulung yang menggabungkan dua penyanyi popular Indonesia, Nadhif Basalamah dan Fabio Asher.
Kolaborasi yang belum pernah dipentaskan di Indonesia tersebut akan pertama kali disaksikan peminat mereka di sini pada konsert yang berlangsung di MegaStar Arena, Kuala Lumpur pada 26 Julai depan.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Rumah Singgah itu mengakui berasa teruja apabila sekali lagi diberikan peluang menghiburkan peminat di Malaysia yang sudah dianggap sebagai rumah keduanya.
Lebih mengharukan, dia juga dimaklumkan bahawa jualan tiket sudah mencapai lebih 80 peratus.
“Kembali lagi ke Malaysia yang sudah seperti rumah kedua kerana hampir setiap tahun pasti akan ke sini dengan pelbagai acara. Memang teruja dengan kesempatan yang diberikan oleh pihak penganjur.
“Lebih mengujakan apabila saya diberitahu akan sepentas dengan Nadhif buat kali pertama yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana acara pun sebelum ini termasuk di Indonesia.
“Bila konsert ini dihebahkan, para peminat di Malaysia sangat teruja terutama selepas mendapat tahu akan berkongsi pentas dengan Nadhif. Kata mereka, ini gabungan luar biasa,” katanya.
Meski tidak pernah bekerjasama, penyanyi berusia 33 tahun itu berjanji tidak akan menghampakan setiap pembeli tiket dan mahu memberikan persembahan terbaik pada yang mengangkat tema Satu Rasa Dua Cerita itu.
Jelasnya, dia yakin kolaborasi dengan Nadhif bakal meninggalkan kenangan paling manis buat peminat mereka sepanjang konsert tersebut nanti.
“Saya dapat rasakan kami akan ada keserasian yang baik. Kita tunggu dan lihat bagaimana kami akan mengejutkan peminat di konsert itu, pasti menjadi malam terbaik buat semua.
“Harap konsert kali ini akan menjadi satu kenangan yang indah dan bermakna buat peminat kami di Malaysia.
“Peminat di Malaysia tidak pernah mengecewakan sehingga hari ini, sokongan mereka sangat hebat, sebab itu saya sentiasa ingin kembali ke sana,” ujarnya yang kali terakhir mengadakan persembahan di Kuala Lumpur adalah pada Disember tahun lalu menerusi konsert Malam 3 Suara bersama Anggi Marito dan Rizky Febian.
Kongsinya, dia bakal mendendangkan lagu-lagu yang baharu saja dilancarkan dan beberapa buah karya yang belum pernah diperdengarkan di Indonesia, namun popular dalam kalangan peminat di Malaysia.
Sementara itu, Nadhif yang sebelum ini pernah beberapa kali mengadakan persembahan di Malaysia memberitahu, gabungannya dengan Fabio adalah satu idea yang tidak pernah terfikir olehnya sebelum ini.
Namun, dia percaya Fabio bakal menawarkan sesuatu yang luar biasa sekali gus diyakini mampu mendapat keserasian apabila berkongsi pentas.
“Tidak pernah membuat persembahan bersama tapi kami beberapa kali berada di acara sama dan saya percaya mencari keserasian bukan masalah besar sebab dia penyanyi yang hebat.
“Secara peribadi, Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang sangat istimewa, serumpun. Penganjuran konsert sebegini membuatkan dua negara ini lebih akrab dengan disatukan menerusi muzik,” ujar penyanyi lagu Kota Ini Tak Sama Tanpamu itu penuh optimis.
Baginya, berulang kali mengadakan konsert di Malaysia bukan satu perkara yang membebankan sebaliknya peluang keemasan untuk meraikan peminat dan memperdengarkan karya-karyanya di negara lain.
“Muzik menyatukan dua negara dan juga dapat membuatkan kita berkongsi energi dengan cara yang sukar kita fahami.
“Pastinya saya sangat menerima dengan hati terbuka apabila ditawarkan untuk konsert ini. Memang teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan saya selalu serta tidak jemu untuk terus melakukannya,” jelasnya.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Bergema Sampai Selamanya itu juga turut menjanjikan pelbagai kejutan pada persembahan bersama Fabio.
“Kami akan rancang dan membina penceritaan istimewa untuk konsert itu nanti agar tidak menghampakan setiap pembeli tiket,” jelasnya lagi.
Tiket konsert anjuran Cerita Project & Events Sdn. Bhd. dengan Jiwa Kacau sebagai rakan strategik itu boleh didapati menerusi laman web tiket rasmi www.ilassotickets.com. Harga tiket dijual bermula RM98 sehingga RM888 mengikut kategori tempat duduk tertentu.














