fbpx
Gambar hiasan

‘Jangan bising dalam tren, ia bukan ruang peribadi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sikap segelintir pengguna pengangkutan awam yang membuat bising di dalam MRT dan LRT terus menjadi perhatian susulan tular isu sekumpulan lelaki berqasidah dalam gerabak tren baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Public Health Malaysia (PHM) berkata, ramai penumpang sebenarnya menggunakan masa di dalam tren untuk berehat selepas penat bekerja sepanjang hari.

Jelasnya, terdapat pengguna pengangkutan awam yang sedang pening kepala, mengantuk dan cuba mengawal emosi selepas melalui hari yang panjang.

“Ada yang cuma mahu duduk diam beberapa stesen sebelum sambung hidup semula.

“Tapi tiba-tiba satu gerabak terpaksa dengar suara kuat, nyanyian, video bising, gelak menjerit atau panggilan telefon yang dibuka macam siaran awam,” katanya.

Menurut PHM, tindakan membuat bising di ruang awam bukan sesuatu yang menceriakan sebaliknya boleh mengganggu ketenteraman orang lain.

“Itu bukan ceria. Itu bukan berani. Itu bukan ‘jadi diri sendiri’. Itu mengganggu,” katanya.

Tambahnya, ruang awam seperti gerabak tren perlu dikongsi secara berhemah dan bukannya dianggap sebagai ruang peribadi.

“Tren ialah ruang awam, bukan ruang peribadi suara anda sampai semua orang terpaksa dengar, masalahnya bukan orang lain terlalu sensitif.

“Masalahnya anda lupa bahawa gerabak itu dikongsi bersama,” ujarnya.

Terdahulu, tular video sekumpulan lelaki mengalunkan qasidah dengan kuat di dalam tren MRT sehingga mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.

Perkongsian itu mencetuskan perdebatan apabila ada pengguna berpendapat tindakan tersebut tidak sesuai dilakukan di tempat awam kerana boleh mengganggu ketenteraman penumpang lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN