ALOR GAJAH – Beberapa kawasan di Masjid Tanah di sini ditenggelami banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt. Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pertama telah dibuka di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah pada pukul 2 petang bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
Katanya, sehingga pukul 3.30 petang, seramai 12 mangsa daripada dua keluarga telah dipindahkan ke PPS berkenaan.
“Hujan lebat yang bermula kira-kira pukul 6 pagi menyebabkan paras air sungai dan parit meningkat sebelum melimpah ke kawasan penempatan penduduk di kawasan rendah.
“Antara kawasan yang terjejas ialah Taman Masjid Tanah Ria, Jalan Bandar Baru Masjid Tanah dan Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata, semua agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Alor Gajah telah digerakkan bagi memantau keadaan selain membantu operasi pemindahan mangsa.
Tambahnya, cuaca di kawasan terlibat masih hujan dan mendung, menyebabkan risiko kenaikan paras air masih wujud sekiranya hujan berterusan. – KOSMO! ONLINE















