fbpx
Hannah (kiri) dan Fadlun Mat Ujud ketika lawatan ke Kompleks Krematatorium hari ini. Foto ihsan Facebook HANNAH YEOH.

RM45 juta diperuntukkan naik taraf krematorium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menaik taraf Kompleks Krematorium DBKL di Jalan Kuari, Cheras menerusi projek bernilai RM45 juta bagi mengurangkan tempoh menunggu waris selain meningkatkan kualiti perkhidmatan penghormatan terakhir kepada komuniti bukan Islam.

Projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Rancangan Pertama (RP1) Tahun 2026 itu dijangka meningkatkan kapasiti operasi harian daripada 18 kepada 27 pembakaran mayat menerusi penambahan mesin kremator daripada tujuh kepada 10 unit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, Kompleks Krematorium DBKL yang beroperasi sejak 1977 merupakan antara kemudahan krematorium awam terbesar di negara ini dengan purata 5,844 operasi kremasi direkodkan setiap tahun.

Katanya, projek yang kini berada di peringkat pra-pelaksanaan itu dijangka siap pada 2029 serta merangkumi penaiktarafan ruang menunggu dan kemudahan sokongan yang lebih moden, selesa serta mesra pengguna.

“Sepanjang tempoh pembinaan, DBKL akan menyediakan empat unit mesin kremator sementara bagi memastikan operasi kepada masyarakat tidak terjejas,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, setiap kemudahan awam perlu memenuhi standard yang jelas supaya rakyat menerima perkhidmatan yang boleh diharapkan apabila mereka memerlukannya.

“Keperluan rakyat sentiasa berubah. Sebab itu standard perkhidmatan DBKL juga mesti terus dipertingkatkan supaya setiap kemudahan awam mampu berfungsi dengan cekap dan memenuhi keperluan sebuah ibu negara.

“Bagi DBKL, ukuran kejayaan bukan jumlah projek yang disiapkan tetapi kualiti perkhidmatan yang dirasai rakyat. Itulah standard prestasi yang kami pegang dalam setiap penambahbaikan yang dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan projek itu merupakan sebahagian usaha berterusan DBKL memperkukuh standard penyampaian perkhidmatan awam melalui penambahbaikan kemudahan, sistem dan proses kerja agar Kuala Lumpur terus berfungsi dengan cekap sebagai ibu negara yang diyakini rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN