KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas bebas tanpa melibatkan mana-mana wakil Prasarana Malaysia Berhad bagi menyiasat insiden tren LRT tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin secara menyeluruh.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pasukan tersebut diwujudkan bagi memastikan siasatan dilakukan secara bebas dan telus.
“Selain siasatan dalaman oleh Prasarana, Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan satu pasukan petugas khas yang bebas daripada Prasarana.
“Tidak ada wakil Prasarana dalam pasukan petugas khas itu untuk menyiasat secara bebas punca kejadian dan untuk melihat apa sebenarnya berlaku,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan ke tapak kejadian di Stesen LRT Chan Sow Lin, hari ini.
Menurutnya, siasatan akan meneliti sama ada kejadian berpunca daripada kecuaian manusia, kegagalan sistem atau kerosakan teknikal.
Katanya, pasukan berkenaan diketuai Ketua Inspektor Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Brigedier Jeneral Tan Chee Kee yang mempunyai pengalaman luas dalam menyiasat pelbagai kemalangan sebelum ini.
Beliau berkata, beberapa pakar kejuruteraan rel turut akan dilantik bagi membantu siasatan tersebut.
“Pasukan petugas khas itu akan diberikan tempoh maksimum 30 hari untuk menyediakan satu laporan.
“Laporan itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan turut diumumkan kepada orang ramai sebagai langkah ketelusan,” katanya.
Anthony berkata, pasukan tersebut tidak ditubuhkan untuk menentukan pihak yang perlu dipersalahkan, sebaliknya memberi fokus kepada punca sebenar kejadian.
Tambah beliau, pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut membuka kertas siasatan berhubung insiden tersebut.
Katanya, semua data berkaitan termasuk rekod sistem kawalan operasi (OCC), sistem isyarat, kakitangan pusat kawalan serta pemandu tren akan diteliti sepanjang tempoh siasatan.
Terdahulu, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin, menyebabkan gangguan operasi perkhidmatan rel berkenaan.
Anthony menyifatkan kejadian itu sebagai insiden yang sangat serius walaupun tidak melibatkan kecederaan kerana berpotensi mengundang risiko besar kepada keselamatan penumpang. – KOSMO! ONLINE














