fbpx
FENOMENA ‘palatau’ dalam kalangan netizen yang gemar meninggalkan komentar tanpa berasaskan ilmu akan membawa padah kepada diri sendiri serta masyarakat. – GAMBAR JANAAN AI

Ramai ghairah bersuara di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perkembangan teknologi dan ledakan media sosial telah me­ngu­bah landskap komunikasi ma­­­syarakat hari ini. Jika dahulu pan­dangan dan komentar lazim­nya disalurkan melalui saluran ras­­mi atau oleh individu yang mem­­punyai kepakaran tertentu, ki­ni sesiapa sahaja bebas bersua­ra dengan akses hanya di hujung jari.

Dalam keterbukaan ini, lahirlah satu fenomena yang semakin membimbangkan iaitu budaya ‘palatau’ atau ‘paling tahu’.

Istilah ‘palatau’ mungkin tidak direkodkan secara rasmi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), namun penggunaannya semakin meluas dalam kalangan komuniti digital.

Ia merujuk kepada sikap indi­vidu yang gemar memberi ko­men, pandangan atau ulasan tentang sesuatu isu walaupun tidak mempunyai ilmu, maklumat atau kepakaran yang mencukupi.

Fenomena ini semakin ketara apabila masyarakat begitu ringan jari meninggalkan komen, ringan mulut mengeluarkan panda­ngan dan ringan tangan berkongsi maklumat tanpa usul periksa.

Hari ini, hampir semua isu menjadi medan komentar ma­sya­rakat, daripada isu rumah tang­ga selebriti, tragedi kemala­ngan dan perbahasan politik hinggalah kepada persoalan agama serta kesihatan.

Lebih membimbangkan apabila pandangan diberikan de­ngan penuh keyakinan meskipun di luar bidang kepakaran sendiri. Antara faktor utama yang me­nyumbang kepada budaya ini ialah kewujudan media sosial yang menyediakan platform terbuka tanpa tapisan ketat.

Aplikasi seperti TikTok, Face­book dan Threads misalnya mem­­bolehkan sesiapa sahaja men­jadi ‘pakar segera’. Kebeba­san ini sering disalahgunakan apa­bila masyarakat lebih terdo­rong untuk menjadi individu terawal memberi komen daripada memastikan kesahihan maklumat.

Penyakit hati

Selain itu, keinginan untuk me­raih perhatian, pengiktirafan dan populariti turut menjadi fak­tor pendorong. Dalam dunia digital hari ini, perhatian sering dianggap sebagai nilai sosial yang tinggi.

Dari perspektif Islam, budaya ‘palatau’ bukan sekadar berpunca daripada kebebasan media sosial atau keghairahan untuk bersuara, bahkan berakar daripada penyakit hati dan kelemahan adab dalam berilmu.

Antaranya ialah sifat ujub, iai­tu rasa bangga diri dan merasakan diri sentiasa betul; takbur iaitu sikap sombong hingga menolak kebenaran; serta riyak, apabila seseorang berbicara se­mata-mata untuk meraih perhatian, pujian atau pengiktirafan masyarakat.

Selain itu, sikap jahil tentang adab ikhtilaf turut menyumbang kepada fenomena ini apabi­la seseorang gagal memahami ca­ra berbeza pandangan secara ber­hemah, lalu memilih untuk me­ngecam, menghina dan me­nyerang pandangan orang lain.

Budaya ini juga sering lahir daripada kecenderungan mengikut hawa nafsu dan emosi apabila seseorang memberi komentar berdasarkan kemarahan, sentimen atau persepsi tanpa berpandukan fakta serta ilmu yang sahih.

Tidak kurang juga unsur ghu­rur, iaitu tertipu dengan sedikit pe­ngetahuan sehingga merasakan diri layak berhujah dalam se­mua perkara hanya dengan mem­baca satu dua perkongsian di media sosial.

Apabila penyakit-penyakit ha­­ti ini dibiarkan berakar, ma­sya­rakat akan lebih cenderung un­tuk bercakap tanpa ilmu, ­menghukum tanpa memahami, dan akhirnya merosakkan buda­ya il­mu serta adab dalam berinteraksi.

Hakikatnya, budaya ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mencetuskan pelbagai kemudaratan seperti penyebaran maklumat palsu, kekeliruan da­lam masyarakat dan fitnah terha­dap individu tertentu secara berleluasa.

Dalam isu agama misalnya, pandangan tanpa ilmu boleh mem­bawa kepada kekeliruan hu­kum dan kesesatan. Dalam isu kesihatan pula, nasihat yang sa­lah boleh membahayakan nyawa.

Lebih parah, apabila suara lantang tanpa ilmu lebih dide­ngari berbanding pandangan pakar yang berautoriti, masyarakat akan terbiasa menerima pendapat tanpa penilaian kritis.

Akhirnya, budaya ilmu semakin terhakis dan pembinaan intelektual masyarakat semakin merosot. Allah SWT mengingatkan manusia agar tidak berkata atau bertindak tanpa ilmu sebagaimana firman-Nya dalam Al-Quran, Surah al-Isra’, ayat 36 yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenai­nya.”

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman dalam Al-Quran, Surah al-Nahl, ayat 43 yang bermaksud: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

Rasulullah SAW juga bersab­da: “Antara kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Fakta biar benar

Bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam budaya ‘palatau’, masyarakat perlu mendidik diri dengan adab digital yang sihat. Sebelum memberi komen, tanyalah diri terlebih dahulu sama ada pandangan tersebut berasaskan ilmu atau sekadar emosi.

Seterusnya, lazimi diri menye­mak fakta daripada sumber sa­hih sebelum berkongsi maklumat. Jika sesuatu perkara berada di luar bidang pengetahuan, me­mi­lih untuk diam adalah lebih baik daripada menambah kekeliruan.

Orang yang bijaksana tahu bila perlu bercakap dan bila perlu diam. Justeru, mereka tidak akan mengeluarkan pandangan tanpa asas, apatah lagi dalam perkara di luar bidang kepakaran.

Tidak salah untuk berkongsi pandangan atau memberikan ko­mentar, namun biarlah ia berasaskan ilmu, fakta dan niat yang baik. Pandangan yang lahir daripada keikhlasan untuk memberi manfaat amat berbeza dengan komentar yang didorong oleh keinginan untuk menunjuk-nunjuk, meraih perhatian atau menonjolkan diri di mata masyarakat. Pe­patah Melayu mengingatkan, “Kerana pulut santan binasa, ke­rana mulut badan binasa.”

Dalam konteks budaya ‘palatau’, ungkapan ini amat relevan sebagai peringatan bahawa kata-kata dan komentar yang tidak berasaskan ilmu boleh membawa padah kepada diri sendiri serta masyarakat.

Justeru, budaya ilmu, adab da­lam berbeza pandangan dan di­siplin dalam berkomuni­kasi per­lu diperkasakan agar ma­sya­ra­kat tidak terjebak dalam bu­daya ‘palatau’, yang akhirnya me­­ro­sakkan pembinaan intelektual dan kesejahteraan sosial.

Dr. Nurul Husna Mansor merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN