fbpx
Tangkap layar klip video memaparkan seekor beruang matahari sedang memanjat sebatang anak pokok kelapa di Kampung Jambu Bongkok, Marang baru-baru ini.

Beruang matahari ‘amuk’ di Jambu Bongkok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARANG – Seramai kira-kira 1,000 penduduk Kampung Jambu Bongkok, di sini dalam kebimbangan berikutan kelibat seekor beruang matahari yang tersesat masuk kampung tersebut sejak dua minggu lalu.

Lebih merisaukan, haiwan liar terbabit didakwa kerap berkeliaran berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Awang Jabar di sini yang menempatkan asrama pelajar.

Seorang penduduk, Afendi Ahmad, 48, mendakwa halaman rumahnya sudah dua kali dicerobohi beruang matahari tersebut termasuk kejadian terbaharu pada Jumaat minggu lalu.

“Saya yang berada dalam rumah mengintai haiwan liar tersebut merosakkan dua batang pokok kelapa saya untuk makan umbutnya.

“Tidak cukup dengan itu, beruang matahari itu juga sempat ‘mandi’ menggunakan air yang terdapat di dalam bekas air terletak di halaman rumah,” jelasnya di Kampung Jambu Bongkok di sini semalam.

Afendi yang juga peniaga burger di kawasan itujuga kini risau untuk berniaga pada waktu malam kerana takut terserempak de­ngan haiwan liar terbabit.

Seorang lagi penduduk, Latif Othman, 68, pula mendakwa berdasarkan pemerhatian penduduk, beruang matahari tersebut menjadikan laluan berhampiran pagar SMK Datuk Awang Jabar sebagai antara kawasan aktif pergerakannya untuk mencari makanan.

“Sudah pasti kami ibu bapa risau keselamatan anak-anak yang menghuni asrama sekolah tersebut.

“Harap haiwan liar terbabit dapat segera ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jabatan Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kampung Jambu Bongkok, Mohd. Wardi Hamzah berkata, aduan rasmi telah dibuat terhadap Perhilitan.

“Perhilitan Terengganu telah memasang sebuah perangkap pada minggu lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN