GUA MUSANG – Seorang lelaki Orang Asli terpaksa menahan kesakitan hampir lima jam dalam keadaan kepala berdarah selepas ditimpa pokok ketika membersihkan kebun di Kampung Piyel, Pos Bihai, di sini semalam.
Mangsa, Langnit Asang, 26, dikatakan sempat berjalan kaki kira-kira 30 minit dalam keadaan berlumuran darah dan sempat sampai di rumahnya sebelum tidak sedarkan diri.
Abang saudara mangsa, Rantau Poat, 41, berkata, sebelum kejadian, Langnit telah keluar bersendirian ke kebun kira-kira pukul 8 pagi untuk membersihkan kawasan tersebut.
Katanya, mangsa pulang dalam keadaan cedera parah dengan berjalan kaki sebelum rebah dan pengsan di rumah kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Kami terkejut melihat keadaannya yang berlumuran darah. Sementara menunggu bantuan, dia sempat sedar dan memaklumkan kepalanya terkena batang pokok yang tumbang ketika menebang pokok.
“Dia terpaksa menahan sakit beberapa jam sebelum menerima bantuan kecemasan menggunakam helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira pukul 3 petang untuk rawatan lanjut di Hospital Gua Musang,” katanya.
Sementara itu, Juruterbang Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor, Mohd. Azuna Mohamed Sabri berkata, pesawat Mi-17-IV berlepas dari Subang kira-kira pukul 1.30 tengah hari sebelum mendarat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang sejam kemudian untuk mengambil seorang doktor dan pembantu perubatan.
Katanya, pesawat kemudian mendarat di Kampung Piyel di sini pada pukul 3 petang bagi membawa keluar mangsa. – KOSMO! ONLINE














