GUA MUSANG – Penduduk Kampung Sungai Relai di sini gempar apabila melihat seekor harimau belang berjalan melintasi Sungai Relai sebelum kembali memasuki kawasan hutan di semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang menjalankan pemantauan rapi di lokasi terbabit termasuk mengenalpasti tahap risiko kepada penduduk sekitar.
“Siasatan oleh Perhilitan Daerah Gua Musang mendapati harimau berkenaan dipercayai hanya melintasi kawasan tersebut sebelum kembali ke habitat asalnya. Tiada kelibat harimau ditemui semasa pemeriksaan dijalankan dan tiada laporan gangguan terhadap penduduk diterima sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, orang ramai terutamanya pekebun di kawasan berkenaan perlu sentiasa berwaspada dan bergerak secara berkumpulan memandangkan okasi tersebut dipercayai berada berhampiran kawasan hutan simpan yang menjadi habitat haiwan liar. – KOSMO! ONLINE














