KUALA NERUS – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil inisiatif melepaskan 32 ekor haiwan liar pelbagai spesies di Taman Laut Pulau Redang di sini.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pelepasan hidupan liar tersebut bertujuan untuk memperkayakan lagi ekosistem di dalam hutan pulau peranginan tumpuan pelancong terbabit.
“Hidupan liar yang dilepaskan ialah empat ekor burung helang jenis merah dan hindek, pelanduk, landak dan ayam hutan. Kita harap kesemua spesies hidupan liar itu dapat berkembang biak demi konservasi dan tatapan generasi masa depan,” katanya selepas melepaskan kesemua hidupan liar terbabit di Taman Laut Pulau Redang di sini hari ini.
Abdul Kadir berkata, Perhilitan komited melakukan aktiviti pelepasan haiwan liar di habitat bersesuaian demi memastikan kelestarian alam sekitar negara terus terpelihara.
Beliau berkata, antara haiwan liar lain yang kerap dilepaskan jabatannya ialah rusa, kinjang, seladang, tenggiling dan harimau kumbang. – KOSMO! ONLINE














