KUALA NERUS – Dua bot nelayan pukat tunda termasuk satu daripadanya mengggunakan nelayan Vietnam sepenuhnya ditahan pasukan penguat kuasa Jabatan Perikanan kerana menceroboh kawasan taman laut di perairan Pulau Redang di sini awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, kedua-dua bot berjaya ditahan pasukan penguat kuasa Jabatan Perikanan dalam operasi selama tujuh jam yang berakhir pukul 6 pagi.
Beliau berkata, dua bot nelayan itu disyaki menceroboh kawasan taman laut untuk menangkap ikan secara haram.
“Kedua-dua bot terbabit dikesan sedang leka menangkap ikan pada kedudukan kira-kira lapan batu nautika (14.82 kilometer) dari perairan Pulau Redang dekat sini.
“Ia menyalahi larangan menangkap ikan pada kedudukan di bawah 12 batu nautika (22.22 kilometer) dari perairan Pulau Redang yang telah digazet sebagai salah sebuah daripada 56 Taman Laut Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Adnan berkata, salah satu bot nelayan pukat tunda yang ditahan didapati jenis C2 atau laut dalam yang disyaki menggaji lima nelayan asing warga Vietnam.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati salah satu bot nelayan tersebut menggunakan modus operandi mengemukakan gambar bot berbeza dalam permohonan lesen dan permit.
“Pemeriksaan juga mendapati hanya satu daripada lima tangki minyak di dalam bot terbabit berisi manakala bakinya kosong,” katanya. – KOSMO! ONLINE














