fbpx

MITI perhalusi cadangan Pekema bawa kenderaan import 50,000 setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul beramah mesra bersama ahli Pekema selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pekema ke-42 yang di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memperhalusi cadangan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) untuk menaikkan jumlah kenderaan import terpakai daripada 35,000 kepada 50,000 unit setahun.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya akan membuat penilaian berdasarkan data terkini bersama Pekema dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi tujuan tersebut.

“Ini antara isu yang dibangkitkan kerana tahap 35,000 unit (kenderaan import) yang ada sekarang tidak memberi gambaran apa yang telah berlaku dalam tenpoh 30 tahun ini.

“Kementerian akan memperhalusi dan akan bekerjasama dengan Pekema untuk mencari asas justifikasi kenapa tahap ini perlu dilihat semula.

“Jadi, kita akan buat keputusan berdasarkan data-data yang terkini dan pada masa sama, isu ini perlu dibincangkan dengan pihak MOF,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pekema KE-42 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menyeru ahli Pekema untuk mengambil peluang daripada penambahbaikan garis panduan pelantikan syarikat permit import (AP) baharu untuk kenderaan elektrik (EV).

Menurutnya, kapasiti enjin setara melebihi 1,800 cc bagi kereta dan melebihi 250 cc bagi motosikal diberi pengecualian sementara untuk kenderaan EV yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga 31 Disember 2025.

“Ambillah peluang ini untuk mengenalpasti dan mendapatkan hak sebagai pengimport eksklusif jenama-jenama EV terkenal untuk dibawa masuk dan dipasarkan ke Malaysia. Ini termasuklah perancangan dalam memasang secara tempatan (CKD) di Malaysia,” ujarnya.

Untuk rekod, Zafrul berkata, berdasarkan statistik MITI, bilangan EV yang diluluskan dan diimport syarikat AP terbuka sejak 2020 sehingga Oktober 2023 adalah sebanyak 729 unit.

“Angka ini meliputi 533 unit EV baharu dan 196 unit EV terpakai dan ia hanyalah 0.23 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang diimport oleh syarikat AP terbuka sepanjang tempoh tersebut.

“Jadi, sebenarnya masih banyak ruang untuk ahli-ahli Pekema meningkatkan penerimaan kenderaan EV di negara kita,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI