BALING – Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas ke dalam longkang berhampiran sebuah universiti di Kuala Ketil di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun terselamat selepas berjaya keluar dari kereta berkenaan.
Mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dibawa menyeberangi longkang dengan bantuan orang awam menggunakan sampan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.02 pagi.
“Sepasukan enam anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd. Najmi Zainol bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa telah berjaya keluar dari kereta dengan bantuan orang awam.
“Anggota kemudian melakukan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tiada mangsa lain berada di dalam kereta tersebut,” katanya di sini hari ini.
Ujarnya, mangsa dipercayai datang dari arah Kulim menuju ke Kuala Ketil dan melalui kawasan yang agak gelap sebelum kenderaannya terbabas ke dalam longkang berkenaan. – KOSMO! ONLINE














