fbpx

PM beri jaminan selesai isu harga beras mahal di Sabah, Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar hadir pada majlis penutupan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di SICC, malam tadi. - Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan bakal mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan harga beras putih import (BPI) di kawasan pedalaman Sabah serta Sarawak tidak terlalu tinggi ekoran kos pengangkutan.

Beliau menyatakan perkara perlu diambil tindakan segera berikutan harga beras di kawasan pedalaman dijangka masih tinggi walaupun kerajaan sudah memberikan subsidi untuk menurunkan harga BPI kepada RM31 bagi kampit 10 kilogram, mulai hari ini.

“Harga beras (BPI) sekarang turun kepada RM31 namun ia mungkin sedikit tinggi di kawasan pedalaman disebabkan kos pengangkutan.

“Oleh itu, kerajaan Persekutuan akan berbincang dengan negeri mengenai langkah boleh diambil bagi memastikan harga BPI di kawasan pedalaman kedua-dua negeri tidak membebankan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam tadi.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Isnin lalu mengumumkan pemberian subsidi RM950 bagi satu tan BPI di Sabah dan Sarawak bagi menurunkan harganya kepada RM31 berkuat kuasa hari ini.

Perdana Menteri pada majlis sama berkata, kerajaan mengambil keputusan memberikan subsidi untuk BPI di Sabah dan Sarawak untuk menurunkan harganya selepas mengambil kira keluhan rakyat kedua-dua negeri yang terbeban dengan kenaikan BPI baru-baru ini.

Menurut beliau, langkah sementara itu turut mengambil kira peratus pengeluaran beras tempatan di Sabah yang kini hanya kira-kira 25 peratus menyebabkan rakyat terpaksa bergantung kepada beras import.

“Seperti kita sudah maklum, beras tempatan tidak tersebar luas iaitu 25 peratus saja di Sabah, maka di sini terpaksa bergantung kepada beras import.

“Harga beras import ini seperti mana disinggung Presiden Jokowi tiga hari lalu akibat daripada keputusan 18 negara menyekat eksport atau mengurangkan eksport, maka harga beras melambung naik.

“Tentunya kesan sama di Malaysia, tapi kita tahu apa yang dihadapi rakyat…maka Isnin lalu kita panggil menteri dan beberapa pegawai Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mendengar pandangan (dan) kita putuskan supaya langkah sementara yang dipanggil melalui subsidi kerajaan.

“Subsidi ini maknanya harga itu tinggi dan kita bayar untuk kurangkan. Ia bukan ekonomi pasaran, ini disebut sebagai campur tangan kerajaan untuk mengurangkan beban. Subsidi makanan itu tinggi, subsidi ayam dan telur sehingga 30 September lalu saja mencecah RM3.8 bilion,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI