fbpx
Anwar

Anwar kutuk tindakan Israel, desak aktivis GSF dibebaskan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk keras tindakan ganas rejim Zionis Israel terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di perairan antarabangsa yang disifatkan sebagai pelanggaran nyata undang-undang maritim.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyifatkan tindakan tersebut seakan-akan perbuatan lanun yang mencemari prinsip kemanusiaan sejagat.

“Malaysia mendesak agar semua pihak bertindak dengan segera dan memastikan tiada sebarang tindakan keras dikenakan terhadap semua para aktivis, termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini ditahan dan terputus hubungan.

“Keselamatan mereka mesti dijamin tanpa kompromi,” katanya dalam hantaran itu hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Madani kini sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan kesemua aktivis terbabit dibebaskan secepat mungkin.

“Dalam situasi getir ini, ihsan dan kemanusiaan harus mengatasi segala perbezaan,” ujarnya.

Anwar berkata, Malaysia akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip tersebut.

“Kepada Allah SWT kita berserah, disulam dengan usaha menyeluruh yang sedang digerakkan, semoga kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi Global Sumud Flotilla,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebanyak 22 kapal misi kemanusiaan GSF 2.0 dipintas, dengan enam daripadanya melibatkan rakyat Malaysia dalam kejadian antara pukul 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia, bersamaan 6 petang hingga 4 pagi waktu Greece. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN