fbpx

Bawa isteri strok ke pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saffie membantu isterinya yang berkerusi roda di rumah mereka di Kampung Bukit Gemuruh, Hulu Terengganu baru-baru ini.

HULU TERENGGANU – Seorang penyelia pusat tenunan songket membuktikan kesetiaannya apabila tabah menjaga isteri yang lumpuh akibat serangan strok sejak tujuh tahun lalu.

Malah kecintaan Saffie Mamat, 59, terhadap Siti Zaharah Husain, 62, terbukti apabila dia sanggup membawa isterinya ke tempat kerja di Kuala Terengganu hampir setiap hari.

“Saya tidak sanggup mem­biarkan isteri yang lumpuh tinggal bersendirian di rumah kerana bimbang keselamatan dirinya.

“Sebelum kami keluar rumah untuk tempat kerja saya setiap hari, saya akan memasak bekal buat makanan isteri sebelum menyiapkannya terlebih dahulu seawal pukul 5 pagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Bukit Gemuruh, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dia tidak me­nganggap rutin menjaga isterinya itu sebagai bebanan, sebaliknya ia amanah yang wajib ditunaikan.

Katanya, dia juga tidak suka menyusahkan orang lain untuk menjaga Siti Zaharah termasuk dua anak mereka yang sudah dewasa dan berumah tangga.

“Isteri saya yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja am di Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Kuala Berang telah me­ngalami strok sewaktu pulang dari tempat kerja pada tahun 2016.

“Serangan strok kedua pada dua tahun lalu pula membuatkan tahap kesihatannya semakin merosot dengan seluruh anggota badan kirinya lumpuh,” katanya.

Tambahnya, setiap bulan sebanyak kira-kira RM500 daripada RM1,300 gaji bulanannya akan diperuntukan untuk perubatan isterinya.

“Syukur kami dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial juga menghulurkan bantuan lampin pakai buang,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank Siti Zaharah bernombor 113032102724 atau menghubungi Saffie di talian 019-9764159.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI