fbpx
PELAJAR berdoa sebelum menikmati hidangan di bawah skim makanan percuma di sebuah sekolah rendah di Banda Aceh pada 30 Oktober 2025. – AFP 

Indonesia tangguh skim makanan percuma 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Indonesia akan menangguhkan skim makanan percumanya semasa hari cuti, selepas tunjuk perasaan besar-besaran di ibu kota mengecam pembaziran perbelanjaan dan menuntut kerajaan menangani keadaan ekonomi negara yang semakin buruk.

Skim makanan bernilai berbilion-bilion dolar itu adalah salah satu dasar teras Presiden Prabowo Subianto tetapi dikritik meluas kerana kosnya tinggi, dengan beratus-ratus orang mengadakan tunjuk perasaan di Jakarta minggu lalu, menyeru ia dibatalkan.

Agensi Pemakanan Kebangsaan (BGN) iaitu badan yang ditugaskan mengendalikan skim itu, telah mengarahkan dapur-dapur untuk tidak menyajikan makanan dalam tempoh cuti yang akan datang bermula 22 Jun hingga 13 Julai ini.

Agensi itu berkata, Skim itu tidak akan dilaksanakan semasa cuti umum, cuti keagamaan, cuti sekolah  dan hujung minggu.

Jurucakap BGN, Agustina Arumsari berkata, langkah itu bukan hanya mengenai ‘kecekapan belanjawan’ tetapi akan ‘memastikan setiap sumber milik negara benar-benar memberikan manfaat optimum untuk golongan yang memerlukan’.

“Indonesia dijangka dapat menjimatkan lebih tiga trilion rupiah (RM694.9 juta) sepanjang tempoh cuti akan datang,” kata Agustina sambil menambah, penggantungan itu juga akan memberi peluang untuk menilai semula dan ‘memastikan program makanan berkhasiat percuma itu menjadi lebih tepat pada sasarannya’.

Lebih 61 juta orang mendapat manfaat daripada program tersebut setakat Mac lalu, demikian  menurut angka kerajaan.

Bagaimanapun, skim itu dicemari insiden keracunan makanan besar-besaran dan dakwaan rasuah sejak ia bermula pada Januari 2025.

Skim BGN mempunyai matlamat untuk mencapai sekurang-kurangnya 82.9 juta kanak-kanak, serta wanita hamil dan menyusukan anak atau hampir satu pertiga daripada populasi Indonesia. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN