PETALING JAYA – Isteri kepada lelaki yang tular didakwa menengkingnya di hadapan sebuah restoran makanan segera berhampiran Lapangan Terbang Senai tampil menjelaskan keadaan sebenar insiden berkenaan yang menurutnya telah disalah tafsir oleh orang ramai.
Wanita itu menerusi rakaman audio yang dikongsikan seorang pengguna Threads berkata, video yang menjadi tular sejak semalam sebenarnya dirakam kira-kira empat bulan lalu.
Menurutnya, banyak dakwaan yang tersebar mengenai kejadian tersebut telah ditokok tambah sehingga menimbulkan salah faham terhadap suaminya.
“Video yang awak tengok itu sebenarnya empat bulan yang lepas tetapi diviralkan semalam. Benda itu sebenarnya dah ditokok tambah.
“Anak akak menangis sebenarnya bukannya dimarah oleh suami akak. Dia sendiri terjatuh sebab dekat situ ada batu-batu. Akak ambil dan dukung anak akak,” katanya.
Katanya, dakwaan kononnya suaminya menengking atau memarahi anak mereka adalah tidak tepat kerana suaminya sememangnya mempunyai suara yang lantang, sekali gus mungkin menimbulkan persepsi berbeza dalam kalangan netizen.
“Suami akak punyai suara memang kuat. Akak dah hidup dengan dia lama. Akak tahulah dia punya percakapan macam mana. Tetapi orang yang viralkan video itu cakap suami akak macam nak bergaduh. Padahal bukan,” katanya.
Mengulas punca suaminya hadir ke tempat kerjanya ketika kejadian, wanita itu berkata, suaminya perlu masuk bekerja pada pukul 7 malam manakala dia pula diminta menyambung kerja lebih masa pada waktu sama.
“Suami akak datang ke tempat kerja akak sebab dia nak masuk kerja pukul 7 tetapi akak kena OT sampai pukul 7 juga.
“Tu yang suami akak kata akak kena ambil anak dulu sebab dia nak masuk kerja, tetapi masa memang tak mengizinkan,” katanya.
Terdahulu, satu hantaran di Threads yang meraih jutaan tontonan mendakwa seorang lelaki menengking isterinya yang sedang bekerja sambil mendukung anak kecil di hadapan sebuah restoran makanan segera di Senai sehingga mengundang kecaman netizen.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan kemudiannya tampil membuat permohonan maaf terbuka di Facebook dan terbuka untuk berjumpa mana-mana individu yang mahu mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














