MELAKA – Seorang wanita dan warga emas melecur selepas bilik disewa mereka di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Perkota Hang Tuah, Bukit Baru di sini terbakar, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa yang melecur masing-masing berusia 22 dan 63 tahun, manakala seorang lelaki berusia 26 tahun mengalami sesak nafas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd. Shahrom Laji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.38 pagi.
Menurutnya, sepasukan 15 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh bersama bantuan BBP Bukit Katil dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal dua tingkat yang disewakan mengikut bilik.
“Rumah berkeluasan kira-kira 1,400 kaki persegi itu dianggarkan terbakar 80 peratus dan tiga mangsa ditemui di dalam bilik sewa dengan dua daripadanya mengalami melecur, manakala seorang lagi sesak nafas,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Ujarnya, ketiga-tiga mangsa bagaimanapun telah diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Tambahnya, rumah tersebut turut dihuni tiga individu lain berusia lingkungan 40-an, namun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan salur bantu mula dan api berjaya dikawal pada pukul 3.57 pagi.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE






