PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meraikan komuniti diaspora Malaysia di Ashgabat sempena lawatan rasmi beliau ke Turkmenistan hari ini.
Anwar berkata, walaupun berada jauh dari tanah air, rakyat Malaysia di luar negara memainkan peranan penting sebagai duta tidak rasmi yang membantu mengangkat imej dan reputasi negara di persada antarabangsa.
Menurut beliau, Kerajaan Madani komited untuk terus memperkukuh hubungan dengan warga Malaysia di luar negara supaya mereka sentiasa terhubung dengan tanah air serta dihargai sebagai sebahagian daripada pembangunan negara.
“Diaspora Malaysia mempunyai peranan besar dalam memperluas jaringan antarabangsa dan melonjakkan maruah negara ke hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Anwar berkata, misi Diplomasi Madani di Ashgabat diteruskan menerusi beberapa siri pertemuan rasmi yang dijadualkan sepanjang lawatan tersebut.
Beliau menjelaskan lawatan ke Turkmenistan bukan hanya tertumpu kepada aspek perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi, malah bertujuan memperluas persahabatan antara kedua-dua negara serta membuka ruang kerjasama baharu yang memberi manfaat bersama.
“Semoga siri pertemuan yang dijadualkan sepanjang lawatan rasmi ini dapat berlangsung dengan baik dan membawa manfaat besar kepada negara serta rakyat keseluruhannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














