SEPANG – Seorang wanita berusia 44 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh wanita warga Indonesia di sebuah apartmen di Bandar Sunsuria, awal bulan ini.
Tertuduh, Chin Siaulan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh seorang wanita dikenali sebagai Puteri di sebuah unit kediaman di Bandar Sunsuria di sini pada pukul 2.31 petang, 3 Jun lalu.
Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, V. Luvithaa memohon satu tarikh sebutan baharu sementara pihak pendakwaan melengkapkan beberapa dokumen termasuk laporan bedah siasat mangsa.
Mahkamah kemudian menetapkan 21 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan berkaitan.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh memandangkan pertuduhan bunuh merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin. Tertuduh diwakili peguam, V. Ayasamy. – KOSMO! ONLINE














