SHAH ALAM – Gelombang kehilangan pekerjaan di Selangor semakin membimbangkan apabila kira-kira 40 peratus daripada 10,869 individu yang terjejas terdiri daripada golongan profesional dan pengurusan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dapatan itu diperoleh hasil penelitian data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Menurutnya, analisis turut menunjukkan 2,549 individu yang kehilangan pekerjaan datang daripada sektor peruncitan, manakala 2,316 lagi membabitkan sektor pembuatan.
“Jika kita teliti lebih mendalam, sebanyak 40 peratus daripada 10,869 yang hilang pekerjaan merupakan pekerja di peringkat pengurusan dan profesional
sementara selebihnya adalah pekerja peringkat juruteknik, jurujual atau pengendali jentera.
“Keadaan ini mendorong Kerajaan Negeri untuk melindungi sektor peruncitan dan menawarkan pilihan peralihan kepada pekerja yang telah kehilangan mata pencarian untuk menceburi bidang keusahawanan serta peluang untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran,” katanya membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 di sini, hari ini.
Amirudin memaklumkan 5,000 slot disediakan kepada individu kehilangan pekerjaan bagi menyertai program Transisi Kerjaya PLATS (Platform Selangor) dengan peruntukan sebanyak RM4 juta daripada kerajaan negeri.
Katanya, peserta akan menerima bantuan data internet selama 12 bulan bagi membolehkan mereka mengakses platform digital, modul latihan serta memohon pembiayaan memulakan perniagaan. – KOSMO! OLINE














