fbpx
TANGKAP layar kejadian tular berkaitan pembantu rumah Indonesia dipukul majikan yang dipercayai berlaku di Taman Johor, Tampoi, Johor Bahru baru-baru ini.

Pukul amah: Dua pasangan suami isteri direman semula empat hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Dua pasangan suami isteri yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes tular memukul pembantu rumah direman semula selama empat hari selepas dua lagi wanita warga Indonesia dipercayai bekas pembantu rumah mereka tampil membuat laporan polis semalam.

Empat suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 pagi tadi selepas dua wanita warga asing berkenaan dibawa dari Kuala Lumpur oleh pihak Kedutaan Indonesia untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan IPD Johor Bahru Utara.

Peguam yang mewakili Kedutaan Indonesia, Mohd. Daud Ismail berkata, beliau hadir sebagai peguam pemerhati ketika proses permohonan reman terhadap kesemua suspek di Mahkamah Johor Bahru hari ini.

Menurutnya, Majistret Chai Ing Hien membenarkan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung laporan yang dibuat oleh kedua-dua mangsa.

“Tempoh reman itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, dua pasangan suami isteri berkenaan ditahan bagi membantu siasatan kejadian mencederakan seorang pembantu rumah warga asing di sebuah kediaman keluarga yang didiami mereka.

Menurut beliau, video yang tular di media sosial memaparkan seorang wanita dipercayai pembantu rumah dipukul oleh dua lelaki dan dua wanita tempatan di sebuah rumah di kawasan Taman Johor, Tampoi.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian yang dirakam dalam video tersebut dipercayai berlaku pada tahun lalu, namun rakaman itu hanya mula tular di media sosial pada 13 Jun lalu.

Sementara itu, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah memberikan perlindungan dan bantuan kepada dua wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa penderaan fizikal ketika bekerja sebagai pembantu rumah di negeri ini.

Menurut kenyataan itu, pihak KJRI menerima maklumat daripada seorang warga Indonesia dikenali sebagai YY yang memaklumkan bahawa dia bersama dua lagi wanita warga Indonesia sering menjadi mangsa penderaan fizikal oleh majikan mereka ketika bekerja di Johor.

Selain Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kes berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian bagi penyebaran kandungan yang mengancam, jelik atau mengganggu orang lain.

Pada masa sama, polis turut menyiasat kes itu mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki atau menyimpan pasport serta dokumen perjalanan individu lain tanpa kebenaran atau kuasa yang sah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN