JOHOR BAHRU – Tindakan sepasang suami isteri dipercayai membelasah dan menampar pembantu rumah mereka sehingga rakaman kejadian itu tular di media sosial mengundang kecaman ramai.
Malah, polis kini sedang menjalankan risikan berhubung insiden berkenaan.
Video yang tersebar sejak semalam memaparkan seorang wanita dipercayai pembantu rumah dimarahi sebelum dipukul oleh pasangan berkenaan yang didakwa tidak berpuas hati selepas mangsa dipercayai memukul anak mereka.
Bagaimanapun, tindakan pasangan itu menerima kecaman hebat pengguna media sosial yang berpendapat sebarang dakwaan salah laku sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa dan bukannya diselesaikan dengan menggunakan kekerasan.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati rata-rata netizen mempersoalkan tindakan pasangan terbabit yang didakwa mengambil undang-undang di tangan sendiri.
Seorang pengguna, Saifuzzaman Mahamod menyifatkan perbuatan itu sebagai satu tindakan menyiksa dan mencederakan individu lain.
“Kalau orang baik, mereka tidak tergamak melakukan perkara seperti ini walau apa pun alasannya. Sepatutnya sudah menjadi urusan polis. Harap ada keadilan kepada pekerja itu,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Sahi Sawalon berkata, pasangan terbabit juga boleh berdepan tindakan undang-undang sekiranya terbukti melakukan kekerasan terhadap pembantu rumah tersebut.
“Kenapa tidak buat laporan polis, biar pihak berkuasa ambil tindakan,” tulisnya.
Nada sama turut disuarakan Shawal Hamid yang berpendapat, pasangan berkenaan sepatutnya membuat laporan polis jika benar berlaku kejadian anak mereka dipukul.
“Kalau apa pun, report sahaja kepada polis. Jangan tunjuk hero,” katanya.
Selain itu, terdapat pengguna lain yang menyifatkan tindakan pasangan terbabit sebagai zalim dan melampaui batas, manakala seorang pengguna dari Indonesia berpendapat pembantu rumah tidak seharusnya dipukul walaupun melakukan kesalahan.
“Jika pembantu rumah itu bersalah sekali pun, dia tidak sepatutnya dipukul seperti itu,” katanya.
Seorang lagi pengguna turut mempersoalkan mengapa rakaman yang menunjukkan anak pasangan tersebut didakwa dipukul tidak didedahkan kepada umum.
“Kalau benar anak mereka dipukul, biar polis siasat. Jangan ambil tindakan mengikut emosi,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima maklumat berhubung video tular tersebut.
“Salam rakan-rakan media. Polis Johor telah menerima maklumat ini dan masih dalam proses risikan,” katanya ringkas.
Setakat ini, lokasi sebenar kejadian dan identiti individu terlibat masih belum dapat dipastikan, manakala belum ada pengesahan sama ada laporan polis telah dibuat berhubung insiden tersebut.
Orang ramai menggesa siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti kejadian sebenar serta memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang. – KOSMO! ONLINE














