fbpx
Gambar kenangan Siti Shahrosamirah bersama arwah ibunya dan ayahnya yang uzur.

Sanggup berhenti kerja, jaga ibu bapa hingga hujung nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Ketika ramai mengejar peluang untuk terus melangkah jauh dalam kerjaya, seorang wanita memilih untuk berhenti kerja ketika berada di fasa kemuncak kerjayanya demi memberi tumpuan menjaga kedua-dua ibu bapanya yang uzur.

Menurut Siti Shahrosamirah Shaharman, 41, keputusan meninggalkan kerjaya itu bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya selepas dia menyedari tidak lagi mampu membahagikan komitmen antara pekerjaan dan tanggungjawab terhadap keluarga.

Katanya, titik perubahan bermula pada penghujung tahun 2020 apabila dia pulang ke kampung dengan perancangan asal hanya mahu mengambil cuti sementara untuk menjaga bapa, Shaharman Abu Mansor, 79, yang mengalami strok.

“Ketika ini bos masih pujuk supaya terus bekerja dari rumah di kampung, tetapi lama-lama saya rasa tak sedap hati sebab tahu saya akan jadi culas,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu kepada Kosmo!.

Dia yang bekerja dalam industri media sejak 2008 berkata, ketika mengambil keputusan berhenti kerja, dia telah berada di kemuncak kerjayanya apabila diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Ketua Unit Media Sosial.

“Selepas mempertimbangkan keadaan dan kemampuan diri, saya akhirnya melepaskan jawatan itu dan menamatkan kerjaya pada September 2021.

“Selepas berhenti kerja, alhamdulillah saya ambil upah lakukan pelbagai kerja sampi­ngan termasuk menghantar pesakit ke pusat dialisis.

“Memang pendapatan jauh berbeza berbanding sebelumnya tapi saya terus bertahan kerana percaya Allah pasti ada, Allah pasti bantu,” katanya.

Kehidupannya terus diuji apabila pada Ogos 2022, bapanya terjatuh di bilik air sehingga patah tulang pangkal paha dan perlu menjalani pembedahan.

“Ketika ayah sedang menjalani rawatan, pada Disember 2022, ibu, Rosnah Othman pula menghidap kanser payudara tahap empat dan saya juga yang menjaganya sehingga ibu meninggal dunia pada September 2023 di usia 73 tahun,” katanya.

Katanya, sebagai anak yang masih belum berkeluarga, dia melihat keadaan itu sebagai ruang yang diberikan untuk berbakti kepada ibu bapanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN