SEBERANG PERAI – Di sebalik wajah ceria dan telatah aktif, seorang bayi lelaki berusia setahun rupa-rupanya sedang bertarung penyakit jantung kongenital yang kompleks dan memerlukan pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawanya.
Mohamad Yafiy Darwish Mohamad Faizal disahkan menghidap Tetralogy of Fallot iaitu keadaan yang menyebabkan aliran darah beroksigen ke seluruh badan tidak berlaku secara normal akibat kecacatan pada struktur jantung.
Ibunya, Mashitoh Mat Isa, 39, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu membesar seperti bayi biasa sehingga ramai tidak menyangka dia menghidap penyakit serius.
Penyakit itu dikesan selepas Mohamad Yafiy Darwish mengalami batuk berpanjangan ketika berusia enam bulan.
“Pada mulanya kami sangka batuk biasa, namun doktor mengesan bunyi tidak normal pada pernafasannya sebelum disahkan ada masalah jantung. Kami berasa sangat terkejut kerana dia kelihatan aktif dan tidak menunjukkan tanda-tanda seperti sukar bernafas atau kulit kebiruan,” katanya.
Keluarga bayi itu berdepan masalah kewangan apabila memerlukan kira-kira RM100,000 untuk menampung kos pembedahan bagi membolehkan aliran darah kembali normal.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya melancarkan kutipan dana bagi membantu keluarga bayi tersebut mendapatkan kos rawatan yang diperlukan.
Katanya, bapa bayi itu, Mohamad Faizal Mohd. Noor, 44, mencari rezeki dengan membantu menghantar buah mangga kepada pengusaha kebun selain menjual buah di gerai tepi jalan, manakala isterinya pula suri rumah sepenuh masa.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang menerusi akaun Public Bank bernombor 3193433435 atas nama One Hope Charity & Welfare.














