fbpx

Habuan menanti 3 peserta konvoi Tobaki Cilik Pink Racing Team

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETUGAS teknikal giat membuat persiapan terakhir pasukan menjelang perlumbaan hari ini.

TELUK INTAN – Tiga pemenang bertuah dalam kalangan 20 peserta konvoi pasukan Tobaki Cilik Pink Racing Team (TCPRT) bakal menerima ‘habuan’ istimewa iaitu peluang memasuki kawasan paddock di Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang berlangsung di Jalan Speedy di sini hari ini.

Pengurus Pasukan Pink Ra­cing, Nur Atikah Azwar berkata, tiga pemenang tersebut akan ditentukan menerusi cabutan bertuah yang dilakukan ketika konvoi berlangsung.

Katanya, konvoi berkenaan akan bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 7.30 pagi hari ini dan dijadual tiba di pasar raya Lotus Teluk Intan kira-kira pukul 10 pagi.

“Konvoi yang bertujuan memberi sokongan kepada pasukan Pink Racing ini telah dilakukan di Terengganu sebelum ini yang mana pesertanya berpeluang memenangi hadiah eksklusif menerusi peraduan yang diadakan.

“Cuma kali ini, hadiahnya lebih istimewa apabila tiga peserta diberi peluang memasuki kawasan paddock yang menempatkan pasukan-pasukan permotoran termasuklah Pink Racing,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Katanya, sebaik tiba di pasar raya Lotus, para peserta konvoi juga akan mengadakan beberapa aktiviti antaranya mengedarkan baju-T eksklusif Kosmo! dan Pink Racing serta mengambil gambar secara berkumpulan.

Tambahnya, selepas semua aktiviti selesai dilaksanakan termasuklah sesi cabutan bertuah, peserta konvoi kemudian akan meneruskan perjalanan ke Stadium Mini Teluk Intan yang terletak kira-kira 1 kilometer dari pasar raya berkenaan.

Lebih menarik lagi katanya, gerai jualan Kosmo!-Pink Racing turut akan dibuka di Litar Permotoran Terengganu pada 22 dan 23 September, Litar Lumba Tangkak pada 21 dan 22 Oktober serta Batu Kawan pada 25 dan 26 November.

Selain itu, mereka yang berminat untuk mendapatkan bara­ngan eksklusif Kosmo!-Pink Racing boleh membuat pembelian melalui https://mediamulia.onpay.my.

Dalam pada itu, Nur Atikah percaya sasaran Pink Racing pada perlumbaan kali ini akan dicapai oleh para pelumbanya iaitu Afizi Supaat, Harith Farhan Baharin dan Mohd. Qhuwarismi Mohd. Nasir.

“Kali ini, kami berharap agar ketiga-tiga pelumba Pink Racing mampu memungut mata serta menghabiskan perlumbaan sebagai top 15 pusingan keenam kejuaraaan ini,” katanya.

Kejuaraan Cub Prix Malaysia pusingan keenam yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dan berakhir hari ini dijangka menarik lebih 30,000 orang pengunjung.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan buat para pengunjung seperti cabutan bertuah yang akan dilakukan pada pukul 5 petang hari ini di kawasan pentas utama.

Sementara itu, ribuan pengunjung turut meluangkan masa mereka di pekarangan Stadium Mini Teluk Intan sejak semalam yang mana pelbagai aktiviti telah dilaksanakan bagi memeriahkan kejuaraan seperti aktiviti bersama Petrosains, pameran motosikal, photo wall dan kuiz pantas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI