JEMPOL – Kes tular membabitkan warga Pakistan yang didakwa melarikan diri selepas melanggar sebuah motosikal sehingga mengorbankan nyawa seorang lelaki di Jalan Ladang Kok Foh bulan lalu, sudah selesai dan dibawa ke mahkamah.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, suspek berusia 32 tahun tersebut ditahan di Felda Palong 10 pada pukul 12 tengah hari 26 Jun lalu selepas dua hari kejadian itu berlaku.
Katanya, polis merampas sebuah kenderaan jenis Proton Wira dan suspek dituduh di Mahkamah Majistret Bahau pada 30 Jun di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas direman empat hari.
“Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah. Siasatan mendapati suspek dipercayai melanggar sebuah motosikal yang ditunggang dua beranak berusia 44 dan 16 tahun sebelum pemandunya melarikan diri.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng patah kaki kanan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial hantaran dipercayai dari keluarga mangsa yang memohon agar keadilan dapat ditegakkan susulan kejadian kemalangan maut akibat kenderaan dipandu warga asing. – KOSMO! ONLINE














