fbpx

Wanita rugi RM1.18 juta diperdaya phone scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUCHING – Seorang lagi mangsa penipuan sindiket panggilan telefon (phone scam) direkodkan di negeri ini membabitkan kerugian sebanyak RM1.18 juta.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, 55, yang merupakan seorang pekerja teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta di Bintulu semalam, setelah menyedari dirinya ditipu.

Katanya menurut mangsa, dia telah dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenali dan mengaku dari Putrajaya pada 22 Mei lalu.

“Suspek kemudian mengatakan mangsa ada mendaftar nombor telefon di Kota Kinabalu, Sabah yang digunakan untuk memfitnah Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selepas itu, talian disambungkan kepada suspek yang mengaku sebagai Sarjan Wong dan Inspektor Khoo dari Kota Kinabalu, Sabah, yang kemudian mengatakan mangsa ada terlibat dengan kes penggubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azman menambah suspek juga memberitahu mangsa bahawa pihak Bank Negara (BNM) mahu memeriksa wangnya dan dia perlu membuka akaun bank baharu atas namanya serta memindahkan wang ke akaun tersebut bagi tujuan siasatan.

“Pada 23 Mei dan 9 Jun lalu, mangsa telah membuka tiga akaun bank yang berbeza di institusi kewangan di bandar Bintulu.

“Mangsa yang panik telah memindahkan wang berjumlah RM881,000 dan RM300,000 daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke dalam tiga akaun bank berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa juga diarahkan oleh Inspektor Khoo untuk memberikan maklumat akaun bank baharu serta pengenalan dan kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek.

“Mangsa juga dikehendaki untuk mematahkan tiga kad ATM itu dan membuangnya dan hanya menyedari telah ditipu setelah memberitahu perkara berkenaan kepada suaminya.

“Mangsa kemudian menghubungi pihak bank dan dimaklumkan terdapat beberapa transaksi pemindahan wang keluar dengan keseluruhan berjumlah RM1.18 juta dari ketiga-tiga akaun bank miliknya ke akaun bank atas nama individu yang tidak dikenali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI